Sarawak larang perjalanan antara daerah selepas 162 ingkar PKP

Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak mencatatkan 11 kes positif Covid-19 hari ini yang terdiri daripada 6 lelaki dan 5 wanita. (Gambar Bernama)

KUCHING: Sarawak melaksanakan larangan perjalanan antara daerah dan individu yang mempunyai alasan sahih perlu mendapatkan permit daripada pejabat daerah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah Embas berkata, kadar pematuhan terhadap perintah kawalan pergerakan (PKP) di negeri itu mencecah 95%.

Katanya, polis menahan 162 orang di negeri itu kerana melanggar PKP sejak Rabu lalu.

“Lapan daripada mereka sudah didakwa di mahkamah. Lima dijatuhkan hukuman penjara antara 2 dan 4 bulan serta 3 lagi didenda.

“Selebihnya akan didakwa di mahkamah mulai esok.”

Uggah berkata, Sarawak mencatatkan 11 kes positif Covid-19 hari ini yang terdiri daripada 6 lelaki dan 5 wanita dengan semuanya dirawat di Hospital Umum Sarawak, Kuching.

Beliau berkata, terdapat 49 kes disyaki baru hari ini, menjadikan keseluruhan 1,126 kes.

Katanya, kebanyakan kes baru dilaporkan di Hospital Umum Sarawak, 9 di Betong, 3 di Bintulu, 2 di Miri dan 1 di hospital Sibu.

Beliau berkata, 915 orang diuji negatif virus itu, manakala bakinya masih menunggu hasil ujian mereka.

Setakat ini, katanya, 9 pesakit yang sembuh dibenarkan pulang, manakala 5 lagi meninggal dunia akibat virus itu.