Wanita pernah ke Indonesia jadi korban terbaru Covid-19

Malaysia mencatatkan 2,470 kes positif Covid-19 setakat ini.

PUTRAJAYA: Jumlah kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 35 kes apabila seorang wanita tempatan berusia 57 tahun yang pernah mengunjungi Indonesia meninggal dunia petang tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit itu disahkan positif virus berkenaan pada 18 Mac lalu.

“Beliau mula bergejala 5 hari sebelum dimasukkan ke Hospital Putrajaya pada 17 Mac dan kemudiannya ke Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Sungai Buloh.

“Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan disahkan meninggal dunia pada 4 petang tadi.”

Malaysia mencatatkan 2,470 kes positif Covid-19 dengan 388 pesakit sembuh sepenuhnya setakat ini.

Putrajaya melaksanakan perintah kawalan pergerakan sehingga 14 April ini bagi membendung penularan Covid-19. 

Terdahulu, Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) disebabkan 71 kes positif Covid-19 di sebuah sekolah tahfiz di Batu 23.

Penguatkuasaan mulai tengah malam ini sehingga 14 April nanti membabitkan 3,918 penduduk di 2 kampung Orang Asli dan 5 kampung Melayu.

Ia menyusul PKPD yang dilaksanakan di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang mulai Jumaat lalu.