14 hari terakhir PKP penentu putuskan rantaian Covid-19, kata Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehari sebelum perintah kawalan pergerakan dilaksanakan, 10,000 rakyat Malaysia pulang dari luar negara.

PUTRAJAYA: Tempoh dua minggu terakhir perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April ini menjadi penentu sama ada usaha untuk memecahkan rangkaian jangkitan Covid-19 berjaya ataupun sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keberhasilan PKP sangat bergantung pada disiplin rakyat Malaysia.

“Kita telah menyelesaikan 2 minggu (PKP) dan 2 minggu lagi terpulang kepada anda dan saya,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini, hari ini.

“Ia bergantung kepada kita. Jika kita semua bersama-sama amalkan duduk di rumah, KKM boleh meneruskan pemeriksaan kesihatan awam dan mengesan kes.

“Kita boleh tingkatkan ujian dan mencari golongan sasaran, periksa dan asingkan mereka pada peringkat awal,” katanya.

“Kita boleh putuskan rantaian Covid-19. Jadi untuk 2 minggu seterusnya bergantung pada anda dan saya. Jika kita semua ada disiplin sosial, kita boleh ratakan geraf.”

Jelas Noor Hisyam kerajaan berusaha untuk meratakan keluk kes dan mengelakkan berlakunya kenaikan mendadak kes jangkitan baru.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham tidak menolak tindakan tegas diambil terhadap rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara diletakkan di pusat kuarantin khas sekiranya ingkar arahan kuarantin sukarela seperti ditetapkan.

“Kita terus pantau mereka yang balik, tetapi masih ada yang keluar dari rumah. Kita akan lihat bagaimana nak kuatkuasakan tindakan untuk pastikan mereka duduk di rumah dalam tempoh yang ditetapkan atau tempatkan mereka di pusat kuarantin khas KKM,” katanya ketika ditanya sama ada kementerian mengesan kes rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara, tetapi gagal mematuhi perintah kuarantin di rumah.

Beliau sekali lagi menasihati mereka yang kembali dari luar negara agar menjalankan kuarantin kendiri sendiri di rumah, termasuk mengasingkan diri daripada ahli keluarga sendiri sekurang-kurangnya 14 hari dari tarikh ketibaan, selain mengamalkan penjarakan sosial dan kebersihan tangan.

Katanya, KKM bimbang gelombang ketiga Covid-19 di negara ini akan menyaksikan peningkatan dalam kes import.

Katanya, antara golongan yang dibimbangi menyebabkan penyebaran wabak itu, termasuklah rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara, seperti yang meninggalkan negara semasa cuti sekolah awal bulan ini dan pelajar yang belajar di luar negara.

Noor Hisham berkata, berdasarkan maklumakn diperolehinya jumlah rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara adalah kira-kira 10,000 orang sehari sebelum PKP berkuat kuasa pada 18 Mac.

“Selepas ia dikuatkuasakan, saya dimaklumkan oleh Jabatan Imigresen, jumlah itu adalah sekitar 4,000 sehari. Semuanya itu adalah rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara,” katanya.