150,00 terima bantuan tunai di bawah pakej rangsangan Sabah

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Ewon Benedick berkata, penerima bantuan akan menerima antara RM300 atau RM500 asetiap seorang.

KOTA KINABALU: Lebih 150,000 orang bakal menerima bantuan tunai di bawah pakej rangsangan ekonomi Covid-19 kerajaan Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Ewon Benedick berkata, senarai nama penerima telah dimuktamadkan dan baucar bayaran akan diproses dan disiapkan esok.

Baucar berkenaan akan dikemukakan kepada perbendaharan negeri dan wang dimasukkan ke dalam akaun penerima, katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan tempoh yang akan diambil untuk tujuan itu.

Benedick berkata, 38,203 individu dalam senarai e-kasih, dengan 15,747 daripada mereka dikategorikan sebagai miskin tegar akan menerima bayaran sekali-bayar sebanyak RM500.

Sementara itu, 41,115 penerima yang tidak termasuk dalam senarai e-kasih, tetapi dikategorikan dalam kumpulan B40 akan menerima bantuan tunai sekali bayar RM300, katanya selepas majlis taklimat yang disampaikan oleh timbalan setiausaha tetap kementerian itu Aftar Nurajat di sini, hari ini.

Turut akan menerima RM300 setiap seorang di bawah bantuan tunai B40 ialah 14,781 petani, 516 penternak, 7,592 nelayan, 38,892 pekebun kecil, 316 malim gunung dan 14,624 rakyat Sabah yang bekerja di semenanjung Malaysia.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta sebagai bayaran tunai kepada golongan miskin tegar dan tambahan RM80 juta untuk pakej rangsangan B40.