Ada rakyat diketepi daripada terima bantuan kerajaan Warisan, kata PBS

Seorang sukarelawan (kiri) menyerahkan makanan kepada penduduk di kawasan terpencil di Kiulu, Tuaran, Sabah.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyuarakan kebimbangan mengenai pengagihan bantuan makanan oleh pemimpin Warisan, dengan mendakwa sebilangan penduduk di Kota Marudu tidak mendapat bekalan mencukupi.

Ketua Pemuda PBS, Christopher Mandut berkata, walaupun parti itu tahu kerajaan negeri menjalankan tanggungjawabnya untuk meringankan beban rakyat akibat krisis Covid-19, namun percaya ia boleh berbuat lebih banyak lagi, terutama dari segi dengan peruntukan dana untuk keperluan bekalan dan pengagihan makanan.

Ahli Parlimen Kota Marudu ialah Maximus Ongkili, yang juga presiden PBS. Ongkili juga adalah menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga urusan Sabah dan Sarawak.

Meminta penduduk Kota Marudu supaya terus bertenang, Mandut berkata, pejabat ahli Parlimen itu akan mengagihkan bungkusan makanan kepada golongan yang memerlukan sebaik sahaja ia dapat menentukan jumlah yang terjejas.

Mandut, yang juga setiausaha politik Ongkili berkata, rakyat Sabah harus membantu satu sama lain ketika krisis, sambil menambah bahawa semua pihak terjejas dan terkesan berikutan Covid-19.

Beliau menafikan dakwaan pemimpin PBS tidak melakukan apa-apa untuk membantu rakyat.

Beliau berkata mereka “amat sibuk” merancang dan menyelaras pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi kerajaan persekutuan.

“Kami memantau dan memastikan bantuan sampai kepada kumpulan yang terjejas secepat mungkin. Saya percaya presiden PBS (Ongkili) dan rakan sejawatnya di Sabah melakukan yang terbaik untuk memastikan keperluan kita dilindungi,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jainysius Sipan di Kiulu, Tuaran, menggunakan elaunnya sendiri untuk membeli makanan untuk golongan miskin di daerah itu.

Kiulu diwakili wakil rakyat PBS, Joniston Bangkuai.

Sipan, 25 berkata, beliau menggunakan elaun MPKK untuk membeli dan mengagihkan makanan kepada 21 keluarga di kampung yang terpencil itu.