Amy umum keluar kumpulan Search fokus keluarga

Amy umum keluar daripada Search mengambil kira faktor usianya dan komitmen keluarga. (Gambar Instagram)

Penyanyi rock legenda, Amy membuat kejutan apabila mengumumkan secara rasmi keluar daripada kumpulan Search.

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman membuat pengumuman itu ketika tampil bersiaran secara langsung dalam satu portal hiburan.

Ia sekali gus mengakhiri teka-teki yang bermain di fikiran peminat berkenaan hubungannya dengan anggota Search iaitu Nasir (bass), Nordin (gitar) dan Kid (gitar).

Amy dipetik sebagai berkata, pengunduran itu adalah untuk kebaikan bersama termasuk memberi peluang buat anggota Search yang lain untuk mengorak langkah masing-masing tanpa bergantung atau tersekat kerana dirinya.

“Dengan pengumuman ini saya berharap saya tidak menghalang perjalanan atau karier anggota sedia ada,” katanya.

Ia rentetan kenyataan anggota Search dalam sidang media Konsert Apologia Search & Awie baru-baru ini yang menyebut, mereka sudah berehat hampir 2 tahun tanpa sebarang persembahan disebabkan jadual Amy yang terlalu padat.

Amy turut mengakui dirinya yang kini sudah melewati usia 62 tahun tidak lagi mempunyai kualiti vokal seperti pada usia 26 tahun.

“Perkara itu terjadi kepada semua penyanyi di seluruh dunia. Saya bukan 26 tahun, tapi 62 tahun. Saya menyanyi apabila dipanggil dalam show atau persembahan tertutup.

“Saya kira ia sesuai dengan peredaran masa di mana jika dulu peminat yang membesar bersama saya menonton saya menyanyi di konsert, tapi saat usia meningkat banyak yang memilih untuk menyaksikan persembahan saya secara tertutup,” katanya.

Amy juga tidak menafikan akan terus menyanyikan lagu Search dalam persembahannya selepas ini apabila ditanya peminat.

Dia bagaimanapun tidak menjawab soalan peminat yang memintanya untuk membuat konsert terakhir bersama Search sebelum bergerak solo.

Baru-baru ini Amy mencetuskan tanda tanya apabila menulis dirinya sebagai bekas penyanyi Search di salah satu posting di Instagram.

Pada 1994, Amy pernah keluar dari Search dan seterusnya tampil dengan album solo berjudul Magic.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]