Bayar sendiri jika pilih kuarantin di hotel, kata menteri kesihatan Sabah

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Frankie Poon (tengah) semasa mengadakan lawatan ke salah satu pusat kuarantin di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Individu yang dikehendaki menjalani kuarantin boleh berbuat demikian di hotel yang ditetapkan tetapi mereka perlu membayar kosnya sendiri, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Frankie Poon.

Beliau berkata, terdapat 28 pusat kuarantin yang diwartakan di negeri itu, tetapi mereka yang dikehendaki menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari itu boleh memilih untuk menginap di Hotel Monaco Boutique dan Hotel Oyo di sini.

Hotel terbabit diwartakan sebagai pusat kuarantin oleh Kementerian Kesihatan, katanya.

Kerajaan Sabah menghendaki individu yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin selama 2 minggu bagi membantu menyekat penularan wabak Covid-19.

“Mereka yang memilih untuk menginap di hotel ditetapkan dikehendaki membayar kos bilik dan makanan, tidak seperti pusat kuarantin disediakan oleh kerajaan yang tidak mengenakan apa-apa bayaran.

“Kementerian Kesihatan mungkin akan menimbang untuk menambah jumlah hotel sebagai pusat kuarantin sekiranya ada keperluan.

“Saya difahamkan penginapan di hotel sangat popular dengan semua bilik ditempah oleh mereka yang pulang dari luar negara,” katanya selepas melawat 7 pusat kuarantin di sini dan di Penampang dan Papar semalam.

Lawatan itu dibuat berikutan aduan berhubung tahap kebersihan dan keadaan di situ.

Poon, yang mengiringi Datuk Bandar Kota Kinabalu Nordin Simin dan Dr Mohd Azimullah Abdullah dari Kementerian Kesihatan berkata, pihak berkuasa akan memastikan keperluan asas seperti air, makanan, topeng dan selimut disediakan kepada mereka yang dikehendaki menjalani kuarantin.

Katanya, beliau dapati keadaan di pusat kuarantin terbabit “umumnya boleh diterima”, melainkan pusat di Institut Latihan Kesihatan Malaysia, yang merupakan sebuah bangunan lama.

Poon juga melawat asrama kerajaan di Taman Rose di sini yang menempatkan 11 gelandangan yang sebelum ini tinggal di jalanan tanpa makanan dan tempat berteduh.