Bekalan sayur Cameron kembali normal namun permintaan menurun, kata persatuan

Permintaan sayur dari Cameron Highlands mula menurun akibat PKP.

PETALING JAYA: Persatuan Pekebun Sayuran Cameron Highlands berkata bekalan dari daerah itu kembali normal namun permintaan menurun kerana pemborong mengurangkan tenaga kerja mereka sementara pasar-pasar ditutup untuk pembersihan.

Setiausaha persatuan itu, Chay Ee Mong berkata para petani boleh menuai kira-kira 800 tan metrik setiap hari, namun pengeluaran itu menurun kepada 500 tan metrik sekarang.

“Pemborong mengurangkan tempahan kerana mereka hanya boleh mengupah 2 pekerja dan bukannya 5 hingga 8 orang.

“Beberapa pasar borong hanya dibuka untuk waktu yang terhad kerana mereka sedang melalui proses pembersihan untuk membendung penyebaran virus Covid-19,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, petani dilaporkan terpaksa membuang hasil mereka disebabkan kesulitan mendapatkan khidmat pengangkutan untuk memindahkan sayur-sayuran ke negeri lain.

Chay berkata masalah itu telah diselesaikan. Bagaimanapun, katanya, permintaan menyusut, malah pasar terbuka dan restoran di seluruh negara ditutup berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

PKP yang berkuatkuasa pada 18 Mac, sepatutnya berakhir pada 31 Mac. Bagaimanapun, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melanjutkannya sehingga 14 April.