Gara-gara meludah di troli, seorang lelaki berdepan hukuman pancung

Papan tanda amaran supaya mengekalkan jarak antara satu sama lain semasa wabak Covid-19 di hadapan hotel mewah Burj Al Arab. (Gambar AP)

Gara-gara meludah pada troli di sebuah pusat membeli belah di Arab Saudi, seorang lelaki warga asing berdepan hukuman mati.

Menurut media Al Bawaba, dia yang didapati positif wabak Covid-19 bakal dipancung kerana telah mendatangkan kemarahan orang ramai akibat meludah.

Lelaki yang tidak disebut namanya ditangkap oleh pekerja pusat membeli belah selepas melihat tingkah laku beliau yang meludah secara sembarangan.

Dalam laporan itu, lelaki tersebut didapati positif wabak Covid-19, selepas diperiksa sewaktu berada di dalam tahanan.

Pihak berkuasa turut menyembunyikan identiti dan warganegara lelaki tersebut.

Tidak jelas adakah lelaki itu sedar bahawa beliau dijangkiti wabak Covid-19 atau tidak semasa dia melakukan tindakan meludah di tempat awam.

Namun beberapa sumber rasmi menyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh lelaki tersebut sebagai kesalahan besar.

Menurut Middle East Monitor jika polis Arab Saudi mendakwa beliau dengan kesalahan sengaja meludah di tempat awam dan mempunyai kesedaran bahawa dia memiliki virus yang telah membunuh lebih 30,000 orang di seluruh dunia, dia bakal menghadapi hukuman pancung dari kerajaan Saudi.

“Tindakan ini dikutuk oleh agama dan hukum,” kata sumber tersebut kepada media Arab Saudi.

Tambah pihak berkuasa Saudi, tindakan beliau ini juga dilihat secara sengaja untuk menyebarkan wabak Covid-19 di antara ahli masyarakat serta mahu menimbulkan panik di antara mereka.

Pihak berkuasa Saudi meminta semua orang yang mengunjungi pusat membeli belah tersebut untuk segera menjalani ujian di hospital.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]