Penumpang tidak dibenarkan dalam kereta persendirian selepas 10 malam mulai April

Tatacara operasi standard perintah kawalan pergerakan tahap 2 hanya membenarkan pemandu memandu kenderaan persendirian antara 6 pagi hingga 10 malam.

PUTRAJAYA: Hanya pemandu sahaja dibenarkan memandu kereta persendirian antara 6 pagi hingga 10 malam bawah perintah kawalan pergerakan tahap 2, yang akan berkuatkuasa 1 Apr ini, dalam usaha kerajaan menghentikan rantaian jangkitan Covid-19.

“Semua kenderaan persendirian hanya dibenarkan seorang sahaja, iaitu pemandu kecuali waktu kecemasan,” kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob ketika menerangkan tatacara operasi standard baru itu pada sidang media di Perdana Putra hari ini.

Perkhidmatan e-panggilan dan teksi turut dibenarkan beroperasi di jalan raya dalam tempoh itu.

Sementara itu, perkhidmatan penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam, dan begitu juga operasi stensen minyak.

Dalam perkembangan sama, kenderaan pengangkutan komersial melibatkan barangan keperluan seperti makanan dan perubatan digalakkan beroperasi dari 7 malam hingga 7 pagi.

“Kita galakkan mereka bergerak waktu itu, tapi kita faham ada setengah kenderaan yang terpaksa berjalan jauh, memerlukan masa lebih panjang jadi kita beri kebenaran, sebab itu kita kata kita galakkan,” katanya.

Sementara itu, Ismail menegaskan aktiviti riadah dan sosial tidak dibenarkan di kawasan awam dan persendirian tetapi kelonggaran diberi kepada golongan autisme dan kurang upaya.

“Untuk mendapatkan terapi seperti dinasihatkan pakar, dan ini tidak dibenarkan secara berkumpulan,” katanya.