India tidak rancang lanjut perintah berkurung kerana orang miskin kelaparan

Beratus-ratus orang beratur untuk menyeberangi sempadan ke negeri jiran Uttar Pradesh dari New Delhi. (Gambar AP)

NEW DELHI: India tidak bercadang melanjutkan perintah berkurung yang dilakansanakan selama 21 hari bagi memperlahankan penyebaran koronavirus, kata kerajaan hari ini, berikutan ia berdepan cabaran dalam memastikan bekalan penting dapat disalurkan dan menghalang puluhan ribu rakyatnya yang kehilangan pekerjaan melarikan diri ke kawasan luar bandar.

Perdana Menteri India, Narendra Modi yang mengarahkan 1.3 bilion rakyat negara itu duduk di dalam rumah sehingga 15 Apr berkata, ia adalah satu-satunya harapan untuk menghentikan pandemik itu, tetapi perintah berkenaan menyebabkan berjuta-juta rakyatnya yang miskin menganggur dan lapar.

Bagi membantah perintah berkurung itu, ratusan ribu pekerja yang bergantung pada upah harian meninggalkan bandar besar seperti Delhi dan Mumbai dengan berjalan kaki pulang ke kampung halaman, kebanyakkanya dengan keluarga.

Kebanyakan berkata, mereka tidak mempunyai makanan atau wang.

Setiausaha kabinet Rajiv Gauba memberitahu rakan kongsi Reuters, ANI, bahawa kerajaan tiada rancangan melanjutkan perintah berkurung itu melebihi 3 minggu, sekali gus menafikan laporan kemungkinan besar langkah penutupan yang berpanjangan dibuat.

India melaporkan 1,071 kes koronavirus yang mengorbankan 29 nyawa, kata Kementerian Kesihatan, pada Isnin.

Angka itu kecil berbanding AS, Itali dan China, tetapi pegawai kesihatan berkata, India ketinggalan beberapa minggu sebelum berlakunya peningkatan kes yang mendadak dan boleh melumpuhkan sistem kesihatan awamnya yang sedia lemah.

Negara jiran, Nepal bagaimanapun, mengumumkan akan melanjutkan perintah berkurung untuk seminggu lagi bermula Selasa.

Negara itu hanya merekodkan 5 kes virus dan tiada kematian, tetapi bimbang jika ia mungkin tersebar berikutan orang ramai mula melancong.

“Sekiranya perintah berkurung tidak dilanjutkan, maka pergerakan orang meningkatkan risiko lebih banyak kes virus,” kata Surya Thapa, pembantu kepada Perdana Menteri K P Sharma Oli.

Melemahkan perintah berkurung

Kebimbangan utama di India ialah beratus ribu pekerja pulang ke kampung akan menyebarkan virus itu jauh ke kawasan pedalaman, kata seorang pegawai kesihatan tertinggi.

“Ia keadaan yang berkembang dengan cabaran baru yang muncul setiap hari seperti mempunyai populasi migrasi yang bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Penduduk tempatan menyediakan air minuman kepada buruh India yang berjalan kaki pulang ke kampung masing-masing. (Gambar AP)

“Seperti negara yang tidak terjejas, bersebelahan negara yang terjejas,” kata Dr S K Singh, pengarah Pusat Kawalan Penyakit Kebangsaan, yang menyiasat dan mencadangkan langkah kawalan untuk wabak.

Kerajaan pada Ahad memerintahkan pihak berkuasa negeri menghentikan pekerja asing daripada bergerak dan mewujudkan tempat perlindungan di lebuh raya yang menyaksikan orang terkandas mendapatkan akses makanan dan air sehingga perintah berkurung ditarik semula.

Berikut adalah data mengenai penyebaran koronavirus di 8 negara Asia Selatan, menurut angka kerajaan:

  • Pakistan merekodkan 1,526 kes, termasuk 13 kematian.
  • India merekodkan 1071 kes, termasuk 29 kematian.
  • Sri Lanka merekodkan 120 kes, termasuk 1 kematian.
  • Afghanistan merekodkan 128 kes, termasuk 3 kematian.
  • Bangladesh merekodkan 48 kes, termasuk 5 kematian.
  • Maldives merekodkan 28 kes dan tiada kematian.
  • Nepal merekodkan 5 kes dan tiada kematian.
  • Bhutan merekodkan 4 kes dan tiada kematian.