Jadikan topeng barang perlu, kata kumpulan pengguna

Aktivis pengguna berkata, orang ramai perlu mendapat akses kepada topeng pada harga yang munasabah.

PETALING JAYA: Satu kumpulan pengguna hari ini menggesa kerajaan memastikan bekalan topeng di pasaran mencukupi selepas mengurangkan harga siling bahan itu kepada RM1.50 seunit hari ini.

Topeng dilihat sebagai barang perlu semasa krisis Covid-19, kata naib presiden Gerakan Pengguna Malaysia Beninder Johl.

Beliau memberitahu FMT bahawa orang ramai memerlukan akses kepada topeng pada harga yang munasabah.

“Tidak ada gunanya kos direndahkan, tetapi bekalan tidak ada,” katanya berikutan langkah kerajaan mengumumkan harga siling topeng.

Terdahulu hari ini, kerajaan berkata topeng 3 lapis akan dijual pada harga siling RM1.50 seunit bermula esok, yang menyaksikan harganya turun sebanyak 50 sen.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata, topeng adalah barangan import dan oleh sebab itu kerajaan tidak boleh menetapkan harganya.

Johl mencadangkan supaya kerajaan memberi subsidi bagi topeng semasa krisis Covid-19 bagi memastikan semua orang mendapat akses kepadanya.

Berhubung harga petrol beliau berkata, walaupun ia menurun dalam beberapa minggu terakhir, namun ia tidak akan menyebabkan harga barang turun dengan cepat.

Beliau berkata, bahan api adalah komponen kos perniagaan yang penting, tetapi Malaysia mengamalkan pasaran terbuka yang menyaksikan harga barangan dan perkhidmatan ditentukan oleh permintaan dan penawaran.

“Jika kos sesuatu produk lebih murah, maka persaingan sihat akan membantu menyelaraskan harga sewajarnya,” katanya.

Johl berkata, kewujudan unsur menyorok barang dan pencatutan mungkin merupakan sebab kenapa harga tidak turun.

Katanya, pengguna perlu melaporkan kegiatan pencatutan supaya tindakan boleh diambil.

Beliau juga berkata, walaupun negara ini mempunyai undang-undang anti-pencatutan yang tegas, namun bilangan pegawai penguat kuasa adalah terhad.