Kanak-kanak 4 tahun maut didera pengasuh

Polis menahan pengasuh berumur 33 tahun bersama suaminya, 41, selepas dipercayai mendera kanak-kanak 4 tahun sehingga meninggal dunia.

BATU PAHAT: Seorang kanak-kanak perempuan berumur 4 tahun meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), hari ini dipercayai didera pengasuhnya.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Azhan Abdul Halim berkata susulan kematian kanak-kanak itu pada 7.15 pagi tadi, polis kemudian menahan pengasuh berumur 33 tahun itu bersama suaminya yang berumur 41 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata siasatan awal turut mendapati abang mangsa yang berumur 6 tahun turut dipercayai didera berdasarkan kesan lebam pada badannya.

“Pihak polis berjaya menyelamatkan abang mangsa dan dia kini sedang dirawat di hospital sama. Hasil pemeriksaan mendapati, dia berada dalam keadaan stabil,” katanya menerusi kenyataan.

Azhan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dera.

Difahamkan ibu kepada 2 kanak-kanak berkenaan yang juga ibu tunggal menyerahkan anaknya kepada pengasuh terbabit untuk dijaga kerana bekerja.