Kerajaan benar staf HR hadir ke pejabat proses gaji pekerja ketika PKP

Staf HR perlu membawa dokumen berkaitan bagi memudahkan pergerakan mereka ke tempat kerja sekiranya diminta pihak berkuasa.

PETALING JAYA: Kerajaan memutuskan kakitangan swasta bahagian kewangan dan sumber manusia dibenarkan hadir ke tempat kerja untuk menjalankan urusan pemprosesan gaji ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata ia pelepasan itu dibenarkan selama 1 hari sama ada pada 31 Mac 2020 atau 1 April 2020 dengan jumlah maksimum dibenarkan adalah 2 orang.

“Majikan diminta untuk menyediakan surat/dokumen pelepasan dan kebenaran untuk ke tempat kerja yang melibatkan kakitangan kewangan/human resource dengan menyenaraikan nama penuh, no kad pengenalan pekerja yang terlibat serta no telefon majikan/pegawai untuk dihubungi bagi tujuan pengesahan.

“Pekerja terbabit perlu membawa dan mengemukakan surat/dokumen tersebut bagi memudahkan pergerakan mereka ke tempat kerja sekiranya diminta oleh pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara.

Perdana Menteri bagaimanapun mengumumkan lanjutan tempoh PKP sehingga 14 April depan berdasarkan peningkatan kes positif Covid-19.

Malaysia mencatatkan 2,470 kes positif Covid-19 dengan 388 pesakit sembuh sepenuhnya setakat ini.

Manakala jumlah kematian meningkat kepada 35 kes apabila seorang wanita tempatan berusia 57 tahun yang pernah mengunjungi Indonesia meninggal dunia petang semalam.