KKM: Peningkatan kes Covid-19 di Hulu Langat mungkin berkait peserta himpunan tabligh

Semalam perintah kawalan pergerakan diperketatkan dilaksana di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor disebabkan 71 kes positif Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz Annabawiyyah di Batu 23.

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menolak kemungkinan kluster jemaah tabligh merupakan antara penyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19 di Hulu Langat, Selangor.

Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan yang dilaksanakan pihaknya mendapati berlaku peningkatan kepada 91 kes positif di lokasi itu, khususnya di Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah.

“Asalnya kita dapati ada 71 kes, apabila kita masuk 2 hari lepas, kita dapati ada peningkatan hingga 91 kes dan satu kes di luar madrasah. Kluster besar ini mungkin sebab ada kaitan dengan anggota jemaah tabligh.

“Dalam tempoh sebulan, anggota jemaah tabligh menularkan penyakit ke generasi kedua, ketiga, keempat sehingga kelima. Jadi mungkin ada di antara mereka, iaitu penduduk kampung di Hulu Langat atau Kampung Sungai Lui yang positif,” katanya pada sidang media di KKM di sini, hari ini.

Mengulas perkembangan terbaru berhubung arahan PKPD di Simpang Renggam, Noor Hisham berkata, pihaknya akan melaksanakan 300 ujian saringan Covid-19 setiap hari di kawasan itu.

“Sekarang ini setiap hari kita boleh laksanakan 300 ujian untuk mereka dalam kumpulan sasaran KKM. Kita harap dalam tempoh 14 hari kita mungkin dapat kurangkan kes jangkitan Covid-19 di 2 kampung tersebut.

“Kita jangka dalam masa 10 hari kita mungkin akan siapkan semua ujian tersebut membabitkan lebih 3,000 penduduk,” katanya selain memaklumkan bahawa penduduk memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa.

Semalam PKPD dilaksanakan di Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor disebabkan 71 kes positif Covid-19 membabitkan 274 penghuni Maahad Tahfiz Annabawiyyah di Batu 23.

Perintah itu membabitkan 3,918 penduduk daripada 700 isi rumah di kawasan itu, termasuk 2 kampung Orang Asli dan 5 kampung Melayu.

Khamis lalu, kerajaan menguatkuasakan PKPD di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor susulan lonjakan kes jangkitan Covid-19.

Kira-kira 3,500 penduduk di 2 kawasan itu tidak dibenarkan keluar dari rumah dan semua aktiviti perniagaan dihentikan.

Terbaharu arahan PKPD dikenakan ke atas Menara City One berdekatan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur menjadikannya kawasan ketiga membabitkan kira-kira 3,200 penghuni.