Wow… Korea Selatan lakukan ujian saringan Covid-19 pandu lalu seperti ‘pondok telefon’

Kemudahan ujian Covid-19 menggunakan gaya ala ‘pondok telefon’ dibina di luar hospital Korea Selatan. (Gambar AFP)

Setiap negara mempunyai cara dan pendekatan berbeza dalam menangani wabak Covid-19.

Tidak kiralah daripada segi saringan mahupun rawatan yang diberikan.

Dan salah satu negara yang wajar mendapat pujian ialah Korea Selatan.

Meskipun negara tersebut berada di kedudukan 10 teratas dengan jumlah kes melebihi 9,000 pada 26 Mac lalu namun graf peningkatan kes yang direkodkan setiap hari menunjukkan kes yang dilaporkan makin sedikit.

Kebanyakan kes Covid-19 di Korea Selatan berpunca daripada kultus ajaran sesat Shincheonji yang dikenali sebagai super-spreader kerana menjangkiti lebih 5,000 orang yang lain.

Berbanding negara-negara lain yang mencatatkan rekod Covid-19 yang banyak, terdapat sedikit perbezaan kaedah yang diambil oleh Korea Selatan.

Malah meskipun mencatatkan kes yang agak tinggi namun Korea Selatan tidak mengisytiharkan kawalan pergerakan atau lockdown untuk rakyatnya.

Selain daripada menggalakkan “social distancing” dan amalan kebersihan diri terutamanya tangan, Korea Selatan amat menekankan kepentingan melakukan ujian saringan.

Dengan itu, pesakit yang membawa virus ini dapat segera dikesan untuk diasingkan daripada masyarakat, seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan penyakit itu.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan Korea Selatan ketika ini merupakan langkah yang diambil dengan mengambil pengajaran daripada peristiwa wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) pada 2015.

Kegagalan mereka mengesan seorang usahawan yang baru pulang dari Timur Tengah dan menjadi pembawa virus tersebut menyebabkan penyakit tersebut merebak dengan cepat disana.

Mereka sedar keupayaan membuat ujian saringan dengan pantas membolehkan pesakit diasingkan dengan segera, seterusnya mengelakkan jangkitan kepada orang ramai.

Sehubungan itu, dalam melawan Covid-19, kerajaan telah membangunkan kit ujian saringan walaupun ketika itu kes yang direkodkan masih terlalu rendah.

Pada pertengahan Januari, kementerian kesihatan di sana sudahpun mendapatkan bantuan beberapa institusi dan syarikat farmaseutikal yang berkaitan untuk membangunkan kit ujian saringan.

Dan apabila ahli kultus Shincheonji yang berpangkalan di Daegu jatuh sakit pada bulan Februari kerajaan Korea Selatan dengan pantas membuat ujian bagi memastikan ia wabak Covid-19.

Bagi mereka, ujian saringan awal kunci kejayaan menangani wabak ini.

Kemudahan ujian saringan yang kurang risiko

Di Malaysia, ujian saringan hanya dilakukan apabila seseorang individu memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan.

Antara kriteria tersebut sejarah perjalanan ke negara berisiko, kontak rapat, kehadiran di majlis perhimpunan tabligh di Sri Petaling dan kenduri yang dilakukan meskipun sudah dihalang.

Untuk seseorang individu membuat saringan, 3 staf kesihatan diperlukan.

Sementara hospital di Korea Selatan memperkenalkan kemudahan menguji Covid-19 menggunakan bilik khas yang berbentuk seakan-akan “pondok telefon” yang membolehkan kakitangan perubatan memeriksa para pesakit dari belakang panel plastik keselamatan.

Kemudahan ini merupakan inovasi terbaru dalam usaha negara tersebut untuk menjejaki jangkitan Covid-19 selain dapat mengurangkan risiko jangkitan kepada staf kesihatan yang bertugas.

Pondok ujian saringan ini menggunakan tekanan udara negatif untuk menghalang sebarang partikel berbahaya daripada keluar dan diletakkan di tempat yang strategik.

Kemudahan pondok ujian saringan ini dikenali sebagai “Safe Assessment and Fast Evaluation Technical booths of Yangji Hospital” atau pun “SAFETY”.

Setiap individu akan melangkah masuk ke dalam pondok ini untuk konsultansi pantas melalui interkom dengan seorang pegawai profesional perubatan.

Seterusnya, sampel daripada individu tersebut akan diambil daripada bahagian antara hidung dan kerongkong menggunakan sarung tangan getah panjang yang dibina ke dalam panel.

Secara purata, keseluruhan proses mengambil masa kira-kira 7 minit dan bilik itu kemudian dibasmi kuman dan melalui proses ventilasi bagi memastikan pengudaraan udara yang normal.

Pondok SAFETY yang lebih kecil ini dilihat “lebih mudah” untuk dibasmi kuman daripada bilik tekanan negatif biasa dan juga merupakan ruang yang lebih selamat untuk membuat ujian.

Pondok ini juga diletakkan di luar bangunan hospital supaya tiada keperluan bangunan hospital disanitasi sekiranya terdapat individu yang disahkan positif Covid-19.

Selain itu, setiap pondok SAFETY ini hanya menerima satu individu pada satu-satu masa, tidak seperti bilik rawatan biasa yang membolehkan ramai individu masuk pada satu-satu masa.

Pengasingan sebegini penting bagi memastikan individu yang positif Covid-19 tidak menjangkiti individu lain yang sihat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]