Lebih RM92,000 kerugian akibat penipuan jual topeng, pensanitasi di Sabah

Kes jenayah komersial yang dilaporkan termasuk penipuan membabitkan penjualan topeng dan pensanitasi semakin meningkat ketika penularan wabak Covid-19.

KOTA KINABALU: Polis berkata pihaknya menerima 20 laporan setakat ini daripada individu yang menjadi mangsa penipuan atas talian membabitkan penjualan topeng dan pensanitasi sejak awal bulan lalu.

Ketua polis daerah Kota Kinabalu, Habibi Majinji berkata penipuan yang beroperasi di platform media sosial, berjaya memperdayakan mangsa lebih RM92,000.

Polis membuat 3 tangkapan berkaitan kes ini dan tertuduh didakwa di mahkamah.

“Pengadu memberitahu polis mereka melihat iklan oleh individu yang mendakwa menjual topeng dan pensanitasi di laman seperti Facebook dan Instagram.

“Selepas berkomunikasi dengan pengiklan, mangsa diminta membuat bayaran secara atas talian ke akaun tertentu.

“Tetapi selepas berbuat demikian, individu yang berhubung dengan mereka berdiam diri dan barang itu tidak pernah sampai kepada mereka,” kata Habibi, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan penipuan seperti itu selain Macau atau love scam, penipuan nombor TAC dan tawaran pinjaman dalam talian yang meragukan.

Orang ramai boleh menyemak sama ada nombor akaun bank yang diberikan oleh individu yang disyaki terlibat dalam kes penipuan di http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.