Mahkamah benar peguam, orang awam pakai topeng ketika prosiding

Peguam dan orang awam dibenar memakai penutup mulut dan hidung di mahkamah.

KUALA LUMPUR: Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur (KMKL) memberi kelonggaran dengan membenarkan mereka yang berada di mahkamah terbuka memakai penutup mulut dan hidung dan sarung tangan ketika prosiding kes berlangsung sebagai langkah mengekang penularan wabak Covid-19.

Peguam Ammanjeet Singh memberitahu perkara itu kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

“Kebiasaannya memang tidak boleh memakai penutup mulut dan hidung di dalam mahkamah. Jika kami mahu memakainya, kami (peguam) perlu meminta kebenaran daripada mahkamah. Ia sebahagian daripada adab dalam mahkamah.

“Kami (peguam dan individu yang berada dalam mahkamah) juga dinasihati supaya menjaga jarak sosial di antara satu sama lain,” katanya yang beberapa kali mengendalikan kes di KMKL sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

Ammanjeet berkata berdasarkan pemerhatiannya di pintu pagar utama KMKL, hanya pihak peguam yang terlibat dengan kes baru dan seorang wakil ahli keluarga tertuduh sahaja dibenarkan masuk.

“Setiap daripada kami yang dibenarkan masuk akan disemburkan cecair pembasmi kuman di tapak tangan dan jika ada sesiapa dalam kalangan kami yang suhu badannya melebihi 37.5 darjah celcius tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Ditanya mengenai proses pengendalian kes semasa tempoh PKP, seorang petugas mahkamah memberitahu para pegawai kehakiman termasuk jurubahasa KMKL bertugas secara bergilir-gilir.

“Hanya beberapa bilik mahkamah sahaja dibuka untuk sebutan kes-kes baru,” katanya dan menambah bilangan yang dibenarkan masuk bilik bicara mahkamah juga terhad.

Pada 17 Mac lepas, Unit Komunikasi Korporat Istana Kehakiman dalam kenyataan memaklumkan, semua perbicaraan dan pendengaran kes sivil serta jenayah di mahkamah di seluruh negara ditangguhkan sepanjang tempoh PKP.

Bagaimanapun, mahkamah yang menggunakan sistem eKehakiman, pemfailan kes sivil serta jenayah baru, notis rayuan dan dokumen akan berjalan seperti biasa.

Hasil tinjauan Bernama baru-baru ini juga mendapati tidak ramai yang dibenarkan memasuki perkarangan mahkamah itu.

Media yang melaporkan kes di mahkamah KMKL hanya dibenarkan berada di luar pintu pagar mahkamah berhampiran pondok pengawal dan mendapat maklumat mengenai sesuatu kes melalui pihak pendakwaan atau peguam.

Bagaimanapun di beberapa negeri, media dibenarkan untuk mengikuti prosiding kes baru berkaitan PKP tetapi juga dalam jumlah yang terhad.