Menara lebih 3,000 penghuni di KL kena kawalan ketat

Menara City One di Jalan Munshi Abdullah berdekatan Jalan Masjid India di ibu negara kawasan ke-3 dikenakan PKPD kerana kes jangkitan Covid-19 yang banyak.

PETALING JAYA: Sebuah menara berdekatan Jalan Masjid India di Kuala Lumpur dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) kerana terdapat banyak kes positif jangkitan Covid-19 di situ.

Seramai 3,200 penghuni di 502 unit kondominium dan premis perniagaan di Menara City One, Jalan Munshi Abdullah dikenakan PKPD, yang ke-3 diisytiharkan sejak minggu lepas, selepas Kementerian Kesihatan mendapati terdapat 17 kes di bangunan itu.

Perintah ini berkuatkuasa 31 Mac hingga 13 Apr. Ia bagi membendung jangkitan menular keluar dan membolehkan aktiviti pengesanan kes daru unit ke unit dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari itu.

“Bagi pelaksanaan perintah ini, semua penghuni diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Dengan pelaksanaan perintah ini, khusus bagi Menara City One sepanjang tempoh perintah dikuatkuasakan:

  • Penghuni tidak dibenarkan keluar dari kawasan tersebut.
  • Bukan penghuni dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut.
  • Semua aktiviti perniagaan dihentikan kecuali premis barangan keperluan.
  • Penghuni boleh membuat pesanan makanan yang boleh dihantar di lobi keselamatan pintu utama.
  • Pangkalan perubatan akan dibuka.
  • Semua laluan keluar masuk ke kawasan itu ditutup.
  • Polis, tentera, pertahanan awam, dan Rela akan mengawal seluruh kawasan itu.

Perkembangan ini menyusuli perintah kawalan ketat ke atas 2 penempatan di Simpang Renggam di Kluang, Johor dan 7 penempatan Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor.