Pakar ramal sehingga 200,000 maut akibat Covid-19 di AS

Seorang pengayuh basikal mengibar bendera AS di Pelabuhan Los Angeles, Jumaat lalu. (Gambar AP)

WASHINGTON: Amerika Syarikat mungkin menyaksikan sehingga 200,000 orang maut akibat wabak Covid-19 dan berjuta-juta lagi dijangkiti, kata seorang pegawai penyakit berjangkit pada Ahad.

“Melihat kepada keadaan sekarang, kita dijangka menyaksikan antara 100,000 hingga 200,000 kematian,” kata pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan Dr Anthony Fauci kepada CNN.

“Kita juga bakal menyaksikan berjuta-juta kes,” lapor agensi berita Anadolu.

Fauci, berkata unjuran boleh berubah memandangkan wabak penyakit itu seperti “sasaran bergerak”.

Pada Ahad, sekurang-kurangnya 2,197 orang meninggal dunia dan jumlah jangkitan meningkat kepada 125,300, menurut data Johns Hopkins University.

Kes kematian pertama di AS dilaporkan pada 29 Feb di Washington, kini negeri itu mencatatkan jumlah korban seramai 136 orang.