Pasukan perubatan Arab, Yahudi bergabung lawan Covid-19

Pasukan perubatan berbangsa Arab dan Yahudi menunaikan ibadat masing-masing di tepi ambulans Magen David Adom. (Gambar AFP)

BAITULMAQDIS: Di Israel, para doktor keturunan Yahudi dan Arab bekerjasama antara satu sama lain di barisan hadapan melawan Covid-19, menegaskan penyatuan mereka menghadapi krisis itu.

Pusat Perubatan Sheba Israel, berhampiran bandar Tel Aviv, berada di tahap terbaik di dunia dan para pengarahnya berkata prinsipnya adalah terima kasih kepada kumpulan penjaga kesihatan Arab dan Yahudi yang bekerjasama dalam masyarakat yang berpecah-belah.

“Kami bekerjasama dengan kakitangan perubatan Arab di mana sahaja dan tidak hanya pada masa coronavirus. Tidak ada perbezaan antara kami,” kata timbalan pengarah Sheba, Rafi Walden, kepada AFP.

“Tanpa mereka, sistem perubatan Israel akan tumbang.”

Minoriti Arab di Israel adalah keturunan Palestin yang tinggal di sana selepas pendudukan Israel pada 1948. Mereka membentuk kira-kira 20% daripada penduduk dan bekerja dalam sektor penjagaan kesihatan negara.

Ketika negara Yahudi berjuang melawan Covid-19, krisis itu menonjolkan sifat kerjasama dalam perkhidmatan kesihatannya.

Foto yang dikongsi secara meluas di media sosial minggu ini menunjukkan 2 pegawai perubatan berhenti sejenak untuk solat di hadapan ambulans mereka. Seorang adalah bangsa Yahudi – berdiri dan bersolat menghadap Baitulmagdis – dan seorang lagi beragama Islam menghamparkan sejadah dan berlutut menghadap Mekah.

Sesetengah pengguna internet memuji imej yang diterbitkan Palang Merah Israel, Magen David Adom, sebagai “inspirasi” dan menekankan keperluan untuk perpaduan ketika krisis.

Yang lain pula mengambil peluang menonjolkan ketidaksamaan yang dihadapi minoriti Arab.

Menurut kajian pada 2017 oleh Taub Centre for Social Policy Studies di Israel, kadar kemiskinan jauh lebih tinggi di kawasan-kawasan Arab, di mana jangka hayat purata juga 4 tahun lebih rendah berbanding kalangan Israel Yahudi.