Persatuan perubatan mohon kerjasama rakyat putuskan rantaian Covid-19

PKP dilaksanakan sejak 18 Mac hingga 14 April ini.

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 tidak mencukupi tanpa kerjasama penuh semua lapisan masyarakat mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran yakin pihak berkuasa bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlaku gelombang ke-3 jangkitan Covid-19, tetapi persoalannya sejauh mana rakyat mahu memberi kerjasama kepada petugas barisan depan.

Beliau berkata, tanggungjawab memerangi pandemik itu bukan terletak di bahu Kementerian Kesihatan saja.

Katanya, rakyat yang akhirnya terpaksa menanggung akibat daripada tindakan mereka melanggar PKP.

“Kementerian boleh sahaja buat sehingga berapa tahap pun.

“Kalau rakyat masih mahu main-main, berjalan kaki dan berada di luar rumah, apa-apa yang kerajaan dan kementerian lakukan tidak mencukupi,” katanya kepada FMT.

Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, 2 dewan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) akan dijadikan pusat kuarantin dan rawatan sebagai persediaan jika berlaku peningkatan drastik pesakit Covid-19 yang dijangka pada pertengahan April.

PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac, dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Kerajaan turut menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan di Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang mulai Jumaat lalu serta Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor tengah malam tadi, susulan lonjakan kes Covid-19.