PM Kanada kekal asing diri walaupun isteri pulih Covid-19

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau dan isterinya Sophie Gregoire Trudeau. (Gambar AP)

MONTREAL: Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pada Ahad berkata dia kekal mengasingkan diri walaupun isterinya pulih daripada Covid-19.

Walaupun doktor mengesahkan Sophie Gregoire Trudeau sembuh daripada virus itu pada Sabtu, perdana menteri itu berkata dia sendiri tidak mempunyai gejala, namun dia “berkongsi bumbung dengan seseorang yang diuji positif Covid-19”.

“Saya perlu meneruskan pengasingan untuk memastikan kami mengikuti semua protokol dan cadangan oleh Health Canada,” kata Trudeau.

Memandangkan doktor tidak tahu dengan tepat bagaimana Sophie Trudeau bebas virus itu, perdana menteri berkata dia akan mematuhi kuarantin 14 hari.

Perdana menteri itu berada di pengasingan sejak isterinya diuji positif Covid-19 pada 12 Mac susulan melakukan perjalanan ke London.

Dia mengumumkan pada Sabtu bahawa doktornya menyatakan dia sembuh, memberinya lampu hijau untuk kembali ke kehidupan normal.

Justin Trudeau berkata isterinya membawa anak-anak mereka ke Tasik Harrington, di barat laut Ottawa, kediaman musim panas rasmi untuk perdana menteri di Kanada.

Trudeau juga mengumumkan langkah kewangan baru untuk membantu Kanada, terutamanya kanak-kanak dan warga tua yang menerima kesan sampingan Covid-19.