Polis Selangor gesa penduduk beli barang perlu di lokaliti sendiri

Polis Selangor berkata, pada masa ini 4 hingga 5 jalan di Kota Damansara dan Petaling Jaya ditutup sejak beberapa hari lepas, dan penutupan sebahagian lagi laluan di kawasan lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.

SHAH ALAM: Polis Selangor akan menambah penutupan jalan di beberapa kawasan di negeri itu secara berperingkat bagi mengurangkan pergerakan orang awam sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Timbalan Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata, buat masa ini 4 hingga 5 jalan di Kota Damansara dan Petaling Jaya ditutup sejak beberapa hari lepas, dan penutupan sebahagian lagi laluan di kawasan lain akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Katanya walaupun langkah itu dilihat menyusahkan masyarakat di kawasan terlibat, namun ia bagi memastikan kawalan pergerakan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Kita ada terlalu banyak jalan, nak tutup semua memang kita tak boleh buat. Jadi kita tutup sebahagian saja yang mana menerusi laluan itu, polis boleh buat tapisan dan kawal pergerakan mereka.

“Memang PKP membenarkan orang awam keluar membeli barangan keperluan, namun ia tidak harus disalah gunakan. Misalnya, jika tinggal di Kota Damansara, beli sahaja keperluan asas di situ, tidak perlu bagi alasan nak beli barang di Kepong,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai PKP di Selangor Arjunaidi berkata, sejak mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas sehingga semalam, sebanyak 364 tangkapan dilakukan kerana mengingkari perintah kawalan itu, dan daripada jumlah itu, 114 adalah warga asing.

“Setakat ini, 8 daripada yang ditahan telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan, dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020,” katanya.

Di Kuala Lumpur, seorang lelaki ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya di tol PJS 2, Lebuh Raya Baru Pantai, dekat sini, kira-kira 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan polis menemui 5 paket plastik lutsinar yang disyaki dadah jenis ketamin kira-kira 5.1 gram, dan wang tunai RM 19,082.00.

“Ujian saringan urin mendapati lelaki berusia 23 tahun itu positif dadah jenis Methamphetamine dan ketamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.