Selangor mula salur barang makanan kepada penduduk Sungai Lui malam ini

Kawasan Sungai Lui, Hulu Langat diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat berikutan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Bermula malam ini, kerajaan negeri Selangor akan membekalkan barangan makanan kepada semua isi rumah di kawasan Sungai Lui, Hulu Langat yang diletak di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD), kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Amirudin berkata, pihaknya juga bersedia membantu menambah sebarang keperluan sepanjang tempoh PKPD di kawasan itu.

“Pemakluman secara menyeluruh juga akan dilakukan kepada semua yang terlibat melalui ‘Info On Wheels’ Jabatan Penerangan Negeri Selangor, termasuk siaraya di masjid dan surau di setiap kawasan tentang perkara yang perlu dipatuhi sepanjang PKPD serta maklumat yang boleh dihubungi sekiranya berlaku sebarang kecemasan luar jangka,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menyentuh PKP fasa kedua yang bermula pada 1 April, beliau berkata, operasi pasar borong dan pasar awam akan dihadkan sehingga 4 petang, manakala perniagaan lain seperti kedai serbaneka, stesen minyak, kedai makan dan restoran hanya dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Penyelarasan lanjut dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pegawai daerah selaku pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah akan diselaraskan oleh pentadbiran setiausaha kerajaan negeri Selangor.

“Kerajaan negeri akan terus memberi kerjasama kepada Majlis Keselamatan Negara dalam melaksanakan mekanisme yang berkaitan dalam usaha menggempur penularan Covid-19,” katanya.