11 didenda RM1,000 berjoging ketika PKP

Aktiviti di luar rumah seperti bersenam atau berjoging dilarang sama sekali di bawah PKP.

KUALA LUMPUR: Sembilan warga asing dan 2 rakyat Malaysia didenda RM1,000 masing-masing oleh Mahkamah Majistret kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan berjoging di kawasan perumahan mereka.

Majistret Muhammad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh mengaku bersalah di bawah Peraturan 7(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

Mereka melakukan kesalahan itu pada petang 27 Mac lalu. Jika gagal membayar denda itu, mereka akan dipenjarakan sebulan.

Sebelas lelaki itu terdiri daripada warga Jepun Tanakatoshihiko, Koichi Itano, Mitsuhiru Takayanagi, Taichi Okubo; rakyat Korea Woo Yum Sik, Lee Jong Young, Kwang Suk Lee; warga Britain Jamie Bubb Sacklyn; warga India Vikram Belliappa serta rakyat tempatan Ramani Sivarama Krishnan serta Au Yong Vooi Loon.

Mereka ditemui berjoging oleh sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan Mont Kiara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim dilaporkan berkata, 11 lelaki itu ditahan minggu lalu ketika berjoging di sekitar Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara ketika pelaksanaan PKP.

Katanya, mereka ditahan kerana tidak mengendahkan amaran dan nasihat polis serta memberi alasan tidak munasabah bagi mengelakkan diri daripada ditahan.

Beliau berkata, semua individu itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas merakam percakapan mereka.