183 didakwa ingkar arahan duduk di rumah di Pulau Pinang

Pihak berkuasa memastikan PKP dipatuhi di pasar awam Air Itam, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN: Seramai 183 individu didakwa di 3 Mahkamah Majistret berasingan di Pulau Pinang hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, 151 mengaku bersalah atas tuduhan itu dan dikenakan denda RM1,000 dan khidmat masyarakat atau penjara.

Berdasarkan maklumat ketua polis daerah, 77 didakwa di Bukit Mertajam, 73 di Butterworth dan 33 di George Town.

Mereka didakwa di bawah Peraturan 3(1) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang melarang orang ramai meninggalkan rumah mereka untuk melakukan sebarang aktiviti yang disenaraikan sebagai tidak penting.

Tuduhan itu membawa denda RM1,000 atau 6 bulan penjara jika sabit kesalahan. Mereka yang ditangkap melakukan kesalahan di seluruh negeri antara 24 dan 29 Mac.