2 dipenjara 8 bulan menyamar polis ketika PKP

Muhammad Nur Saddiq Isham Marzuki (2 dari kanan) dan Mohamed Nazrin Shah Kamal Bachah (berbaju corak belang) dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara 8 bulan kepada 2 lelaki kerana menyamar sebagai anggota polis dan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Muhammad Nur Saddiq Isham Marzuki dan Mohamed Nazrin Shah Kamal Bachah mengaku bersalah di bawah Kanun Keseksaan, Akta Polis serta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di depan Majistret Muhammad Aizat Abdul Rahim.

Mereka melakukan kesalahan itu di V Residence Suites di Sunway Velocity pada 24 Mac lalu.

Mereka menyamar sebagai anggota polis dengan niat untuk “menahan” Muhammad Azri Mohammed Azwan Chandra, dan turut membawa gari tanpa kebenaran.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki sebilah pedang samurai dan pistol renjatan elektrik di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya.