7 Adun angkat sumpah exco Perak

Portfolio 7 ahli exco yang dilantik akan ditentukan dalam masa terdekat, kata Setiausaha Kerajaan Perak, Ahmad Suaidi Abdul Rahim. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Seramai 7 exco Perak mengangkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah hari ini di Istana Kinta, Ipoh.

Setiausaha Kerajaan Perak, Ahmad Suaidi Abdul Rahim dalam kenyataanya hari ini memaklumkan, Adun yang dilantik sebagai exco ialah Saarani Mohamad (Kota Tampan), Wan Norashikin Wan Noordin (Kampung Gajah) dan Shahrul Zaman Yahya (Rungkup) dari Umno.

Selain itu, Mohd Akmal Kamarudin (Selama) dan Razman Zakaria (Gunung Semanggol) dari PAS, dan Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau) dan Nolee Ashilin Mohamed Radzi (Tualang Sekah) dari PPBM.

“Pelantikan ahli majlis mesyuarat kerajaan Perak ini bagi melengkapkan pembentukkan jentera pentadbiran kerajaan Perak selepas Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar pada 13 Mac.

“Jumlah 7 MMK ini memadai bagi membantu menteri besar menjalankan urusan pentadbiran kerajaan negeri berfungsi, selari dengan Undang-undang tubuh kerajaan Perak,” katanya.

Katanya, pembahagian portfolio ahli exco yang dilantik akan ditentukan dalam masa terdekat.

“Manakala pengisian baki 3 lagi kuota ahli MMK akan diputuskan kemudian sekiranya ada keperluan,” katanya.

Perikatan Nasional yang terdiri daripada PPBM, Umno, dan PAS membentuk kerajaan Perak selepas Pakatan Harapan hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri ekoran penyusunan semula politik di peringkat persekutuan.