Ahli akademik beri amaran kekurangan bekalan makanan jika isu agihan tak selesai

Orang ramai mencari bekalan barangan keperluan di pasar Chow Kit di Kuala Lumpur, ketika perintah kawalan gerakan kerajaan masuk minggu ke-3.

PETALING JAYA: Seorang ahli akademik memberi amaran kekurangan bekalan makanan jika kerajaan gagal menangani gangguan agihan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP).

Fatimah Mohamed Arshad, seorang penyelidik di Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia, berkata gangguan logistik akan menyebabkan kelewatan penstokan semula bekalan barangan makanan.

“Masa amat penting dalam sebarang rantaian bekalan,” katanya. “Ia harus lancar untuk memastikan penghantaran tepat pada masa.

“Pembelian panik menyebabkan defisit jangka pendek dalam inventori makanan berikutan bekalan tidak dapat memenuhi pertambahan permintaan yang mendadak. Bekalan akan respon tetapi akan mengambil masa.”

Fatimah Mohamed Arshad

Beliau menjangkakan lebih banyak pembelian panik jika pandemik Covid-19 tidak berkurangan dan PKP dilanjutkan.

“Bekalan makanan boleh jadi kacau-bilau dan menyebabkan kenaikan harga dan ia mungkin menyebabkan gangguan sosial, seperti yang berlaku di Sicily (Itali),” katanya.

Penguatkuasaan PKP memberi kesan pada waktu operasi pasaran.

“Ini juga bukan sahaja menggangu masa penghantaran tetapi juga aturan logistik lain, dari penuaian oleh petani ke penyusunan oleh peruncit,” kata Fatimah. “Bagi pembekal, perubahan mendadak menelan belanja yang banyak.”

Katanya, sekatan amat membebankan petani dan pemborong.

Lori penghantaran kini tertakluk kepada pemeriksaan yang ketat oleh pihak berkuasa. Fatimah berkata, ini bukan sahaja menyebabkan penghantaran lewat, tetapi juga kemerosotan kualiti hasil segar dan dengan itu mengurangkan pendapatan petani.

Beliau berkata, margin keuntungan pemborong juga berkurangan kerana tidak dapat berniaga di pasar malam dan pasar tani, yang tidak dibenarkan bawah PKP.

Beliau mencadangkan sekatan ke atas aliran makanan disemak dan mengenal pasti peringkat-peringkat utama dalam penghasilan dan penggunaan makanan.

Sebagai penyelesaian jangka pendek, pengeluar dan pembekal makanan utama mesti dibenarkan mengangkut produk ke pasaran dengan lebih lancar, dengan pengurangan sekatan terhadap masa tetapi kawalan yang lebih ketat terhadap kesihatan peniaga dan pekerja di setiap peringkat dalam rangkaian terbabit.

“Untuk ini, kita perlukan kit ujian Covid-19 yang lebih cepat untuk digunakan ke atas pemain industri dan sokongan daripada jentera kerajaan.

“Jika perlu, catuan perlu dikenakan untuk memastikan bekalan yang mencukupi untuk semua orang. Harus ada rayuan kepada pengguna untuk mengasihi orang lain dengan hanya membeli apa yang perlu.”

Untuk pelan jangka panjang, pihak berkuasa perlu memulakan tugas mengumpul data mengenai pengedaran dari pelbagai aspek, seperti bilangan pekerja terlibat dan status kesihatan mereka bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai rangkaian terbabit.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna berulang kali memberi jaminan kepada orang ramai tidak akan berlaku kekurangan bekalan makanan.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkata aktiviti pertanian sedia ada akan diteruskan bagi memastikan bekalan produk segar seperti daging dan sayur-sayuran mencukupi. Ia mengatakan makanan yang diimport seperti produk tenusu, daging serta sayur-sayuran dan buah-buahan tertentu ketika ini masih boleh didapati.

Walau bagaimanapun, pengguna media sosial melaporkan pasar raya kekurangan beberapa barangan makanan, termasuk roti.