Degil… Penduduk Filipina dikurung dalam sangkar anjing kerana langgar perintah ‘lockdown’

Hukuman agak kejam yang diambil oleh pihak berkuasa Filipina bagi mereka yang langgar perintah ‘lockdown’.

Seperti semua sedia maklum, Filipina dikenali sebagai sebuah negara yang tegas dalam memerangi dadah.

Namun itu tidak bermakna rakyatnya akan akur dengan perintah yang dikeluarkan kerajaan.

Terbaru, pihak berkuasanya terpaksa menggunakan pendekatan yang agak “kejam” dalam memerangi Covid-19.

Mana-mana yang gagal mematuhi arahan “lockdown” akan dikunci dalam sangkar anjing yang sempit malah ada juga yang dijemur di tengah panas, lapor PhilStar.

Itulah yang berlaku apabila seorang pegawai bertindak mengunci 5 individu termasuk 2 kanak-kanak dalam sangkar anjing di bandar Santa Cruz, selatan Manila.

Pegawai polis, Frederick Ambrocio, ketua polis daerah pentadbiran setempat juga telah mengancam untuk menembak dan meninggalkan mayat mereka terkunci di dalam sangkar anjing.

Ugutan ini ditujukan kepada individu yang masih melanggar perintah berkurung.

Bagaimanapun tindakan agak “kejam” ini menerima kecaman daripada Human Rights Watch dan menghantar bantahan rasmi agar para pegawai menghormati hak mereka yang ditangkap kerana tidak mematuhi arahan “lockdown”.

“Polis dan pejabat setempat harus menghormati hak mereka yang di tangkap kerana melanggar perintah berkurung.

“Mana-mana perlakuan yang melanggar undang-undang harus segera disiasat,” kata Robert Robertson, wakil dari Human Rights Watch.

Di Parañaque, sebuah bandar di Manila pula pihak berkuasa tempatan telah dikritik kerana “menjemur” mereka yang melanggar perintah berkurung di tengah-tengah gelanggang bola keranjang sewaktu matahari terik.

Sebelum ini dilaporkan taktik yang sama dilakukan di China dan India bagi memberi pengajaran kepada penduduk mereka yang masih gagal mematuhi arahan.

Di China, pihak berkuasa bertindak mengikat rakyat mereka yang tidak mendengar arahan di tiang.

Manakala India pula memilih untuk memukul dengan rotan atau dipaksa melakukan ketuk ketampi.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte telah menguatkuasakan perintah “lockdown” pada 16 Mac lalu sebagai salah satu langkah untuk membendung wabak Covid-19 di negara tersebut.

Sejak itu pegawai polis menangkap ratusan rakyat Filipina yang melanggar perintah tersebut.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]