Gunakan pasukan pelapis bantu barisan depan perangi Covid-19

Sewaktu dunia dilanda pandemik Covid-19, rakyat Malaysia diseru duduk diam-diam di rumah. Saya memahami dan akur dengan arahan kerajaan.

Situasi kini bagaikan dunia sedang menghadapi perang dunia ke-3. Kesan yang dialami rakyat tak banyak bezanya sewaktu mengharungi peperangan.

Kegiatan ekonomi tergendala, aktiviti import eksport terkesan, hospital mula dipenuhi pesakit.

Orang ramai diminta berada di rumah, proses pembelajaran dan pengajaran ditunda, perolehan makanan dikhuatiri. Bukankah semua ini pernah diceritakan generasi emas ketika mengimbau keadaan pada perang dunia ke-2?

Walaupun tiada perselisihan tentera, negara dan rakyat mengalami kesan yang sama.

Dalam keadaan genting ini, kita serahkan perjuangan kepada petugas barisan depan yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan, polis, tentera dan beberapa jabatan tertentu.

Saya sebagai rakyat biasa cuma merenung kaca TV sepanjang hari. Persoalan yang bergema dalam diri ialah apakah peranan saya dalam pertempuran ini selain duduk diam-diam di rumah?

Bukankah tanggungjawab saya meringankan beban petugas barisan depan dalam usaha memerangi Covid-19?

Mungkin saya tidak terlatih, tetapi mereka yang dilatih juga tidak diberikan peluang. Saya maksudkan askar wataniah, Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes), kadet polis, anggota Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulans antara yang diketahui umum.

Kenapa kita latih mereka? Untuk duduk di rumah diam-diam atau semata-mata demi mendapat markah kokurikulum?

Walaupun mereka tidak dijadikan barisan depan, sekurang-kurangnya gunakan mereka sebagai barisan pelapis. Saya percaya ramai yang sudi tampil membantu demi kesejahteraan ibu pertiwi.

Mereka juga mampu mengurangkan beban barisan depan. Pertempuran memerangi Covid-19 mungkin mengambil masa lebih lama daripada kita sangkakan dan barisan depan tetap diperlukan sepanjang tempoh itu.

Saya percaya dengan mendedahkan barisan pelapis dalam perjuangan ini, bukan saja dapat mengurangkan beban barisan depan, malah ia dapat meningkatkan jumlah anggota barisan depan untuk menangani operasi besar-besaran pada masa depan.

Anggaplah pandemik ini peluang untuk menyemai patriotisme dalam kalangan generasi muda tanpa mengira bangsa dan agama. Percayalah generasi muda ini yang akan menjunjung ibu pertiwi tersayang.

Sambulingam Wisvalingam ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.