India sita markas kumpulan tabligh dikaitkan Covid-19

Jemaah Tabligh di Malaysia menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah masjid di Shah Alam.

NEW DELHI: Pihak berkuasa India menyita ibu pejabat jemaah tabligh hari ini dan mengarahkan siasatan berikutan dakwaan ia mengadakan mesyuarat agama yang dikhuatiri menyebabkan berpuluh-puluh orang dijangkiti Covid-19.

India merekodkan 1,251 kes Covid-19, yang mengorbankan 32 orang, kata Kementerian Kesihatan. Angka itu kecil berbanding dengan AS, Itali dan China tetapi pegawai kesihatan berkata India berdepan pertambahan mendadak yang boleh melumpuhkan sistem kesihatan awamnya yang lemah.

Salah satu kawasan panas Covid-19 yang dikenal pasti adalah markas jemaah tabligh berusia 100 tahun yang berpusat di New Delhi, selepas berpuluh mangsa diuji positif dan sekurang-kurangnya 7 meninggal dunia.

Pihak berkuasa berkata orang ramai terus mengunjungi pusat tabligh yang terletak di bangunan 5 tingkat di kawasan sempit, lorong yang berliku, dan mengadakan solat berjemaah walaupun kerajaan mengarahkan penjarakkan sosial.

Beratus-ratus orang bersesak-sesak di dalam bangunan kumpulan itu sehingga hujung minggu apabila pihak berkuasa mula membawa mereka untuk menjalani saringan.

“Ia kelihatan seperti penjarakkan sosial dan langkah kuarantin tidak diamalkan di sini,” kata pentadbiran bandaraya dalam satu kenyataan.

“Pihak pentadbir melanggar syarat ini dan beberapa kes pesakit positif korona telah ditemui… Kelalaian ini menyebabkan banyak nyawa terancam … ini adalah satu kesalahan jenayah.”

India kini melaksanakan perintah berkurung ketat selama 21 hari yang akan berakhir pertengahan April dalam usaha membendung penyebaran Covid-19.

Musharraf Ali, antara pentadbir pusat tabligh di Delhi, berkata kumpulan itu meminta pertolongan polis dan pentadbiran bandar untuk menguruskan orang ramai yang terus mengunjungi pusat itu. Tetapi perintah berkurung membuatkan keadaan menjadi lebih sukar.

“Di bawah keadaan yang getir seperti ini, tidak ada pilihan … tetapi untuk menampung pelawat yang terkandas dengan preskripsi ubat yang ditetapkan dalam tempoh tertentu sehingga keadaan menjadi kondusif untuk pergerakan mereka atau aturan yang dibuat oleh pihak berkuasa,” kata kumpulan tabligh itu dalam satu kenyataan.

Di Pakistan, kumpulan itu membatalkan persidangan di pinggir ibu kota Lahore bulan lalu, tetapi masih terdapat 1,100 orang yang tinggal di premis kumpulan terbabit. Sekurang-kurangnya 27 disahkan positif virus itu, kata Menteri Kesihatan wilayah Punjab Pakistan, Yasmin Rashid, kepada Geo TV minggu ini.

Berikut adalah data mengenai penyebaran Covid-19 di 8 negara Asia Selatan, menurut angka kerajaan:

* Pakistan merekodkan 1,625 kes, termasuk 20 kematian.

* India merekodkan 1,251 kes, termasuk 32 kematian.

* Sri Lanka merekodkan 122 kes, termasuk 1 kematian.

* Afghanistan merekodkan 170 kes, termasuk 3 kematian.

* Bangladesh merekodkan 48 kes, termasuk 5 kematian.

* Maldives merekodkan 28 kes dan tiada kematian.

* Nepal merekodkan 5 kes dan tiada kematian.

* Bhutan merekodkan 4 kes dan tiada kematian.