Indonesia sedia dana AS$4.4 bilion cegah penularan Covid-19 di pedalaman

Pengawal keselamatan mengambil suhu orang ramai sebelum solat Jumaat di masjid. (Gambar AP)

JAKARTA: Indonesia merancang menggerakkan sukarelawan untuk memerangi penularan Covid-19 di kampung-kampung pesisir pantai dan kawasan pedalaman di kepulauan Nusantara itu dengan sebahagian belanjawan pedalaman AS$4.4 bilion akan digunakan untuk membiayai inisiatif tersebut.

Pasukan sukarelawan akan membantu pihak berkuasa meningkatkan kesedaran mengenai pandemik itu di hampir 75,000 kampung, mengumpul data mengenai orang yang menunjukkan tanda jangkitan dan menguatkuasakan peraturan penjarakkan sosial, kata Eko Sri Haryanto, pegawai di Kementerian Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal dan Transmigrasi, kepada pemberita di Jakarta, hari ini.

Pihak berkuasa meningkatkan usaha mengekang penularan penyakit itu yang menjangkiti lebih 1,400 orang dan mengorbankan 122, angka kematian tertinggi di Asia Tenggara.

Presiden Joko Widodo, yang enggan melaksanakan perintah berkurung untuk memerangi virus itu, mengarahkan penguatkuasaan dan pemantauan ketat penjarakkan sosial bagi mengekang penyebarannya di pedalaman Indonesia.

Data menunjukkan Jakarta dan kawasan sekitarnya menyumbang kira-kira 2/3 daripada kes positif dan kematian di negara itu.

Pegawai bimbang potensi peningkatan jangkitan dengan puluhan ribu pekerja, kebanyakan yang bekerja secara tidak rasmi, pulang ke kampung mereka dari Jakarta dan bandar-bandar lain selepas hilang pekerjaan, dan banyak lagi yang bersedia untuk pulang ke kampung halaman ketika majoriti warganya yang beragama Islam meraikan pegakhiran bulan puasa pada Mei.

Skuad kampung akan membantu memantau pekerja dan pelajar yang pulang dari bandar dan memastikan mereka mematuhi peraturan pengasingan, kata Haryanto.

“Kita perlu membentuk pasukan kampung yang responsif kerana penyakit ini belum ada penawar dan kebanyakan kampung tidak mempunyai akses mudah ke fasiliti kesihatan,” kata Haryanto. “Pandemik itu boleh menjejaskan ekonomi dan kita bimbang kesannya terhadap kampung-kampung.”

Widodo yang juga dikenali sebagai Jokowi, mengarahkan pegawai meningkatkan pemantauan pekerja Indonesia yang pulang dari luar negara sementara kerajaan turut mengumumkan sekatan terhadap warga asing berkunjung atau transit di negara itu bagi mengelak virus itu terus berkembang.