Indonesia sekat pelancong asing, kekang penularan Covid-19

Pelancong asing menunggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Bali. (Gambar AP)

JAKARTA: Menteri Luar Indonesia hari ini berkata kerajaan menyekat semua ketibaan dan transit warga asing di negara itu berikutan peningkatan kes Covid-19 dan kematian.

Ini berlaku sehari selepas Presiden Indonesia Joko Widodo, berkata beliau merancang peraturan yang lebih ketat mengenai pergerakan dan penjarakkan sosial berikutan laporan menunjukkan lebih 140,000 penduduk di negara Asia Tenggara akan menjadi korban pandemik itu.

Warga asing dengan visa menetap dan sebahagian kunjungan diplomatik terkecuali daripada larangan itu, kata Menteri Luar Retno Marsudi, sambil menambah kerajaan berhasrat mengeluarkan peraturan larangan pada Selasa.

Kerajaan juga akan memperketatkan proses imbasan untuk warga Indonesia yang pulang ke negara itu, katanya.

“Presiden sudah memutuskan dasar sedia ada perlu diperkukuhkan,” kata Marsudi, sambil menambah butiran mengenai peraturan itu akan diterbitkan pada Selasa.

Katanya, beliau tidak tahu bila peraturan larangan perjalanan baru itu akan berkuatkuasa.

Pakar perubatan mengatakan negara ke-4 paling ramai penduduk di dunia itu mesti mengenakan sekatan pergerakan yang lebih ketat berikutan kes penyakit jangkitan pernafasan itu meningkat daripada sifar pada awal Mac kepada 1,414, dengan 122 kematian.

Kementerian Luar Indonesia sebelum ini melarang kemasukan dan transit pelawat dari 7 negara Eropah termasuk Iran, China dan Korea Selatan mulai 20 Mac. Pelancong yang tidak termasuk dalam larangan itu perlu mendapatkan sijil kesihatan dari negara asal mereka.