Kematian Covid-19 bertambah 6 mangsa, lepasi 40 kes

PUTRAJAYA: Kes kematian Covid-19 bertambah 6 mangsa hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang meninggal dunia berkaitan wabak koronavirus itu 43 orang sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan sebanyak 140 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah mangsa 2,766 orang sehingga kini.

Sekarang ini, seramai 94 pesakit Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi.

“Daripada jumlah tersebut, 60 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu, seramai 58 mangsa jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini, meningkatkan bilangan pesakit yang sembuh 537 orang sehingga kini.

Mengenai 6 kematian yang dilaporkan hari ini, Hisham berkata ia membabitkan 5 lelaki dan seorang wanita antara usia 40 tahun hingga 81 tahun.

* Kes kematian ke-38 (kes jangkitan ke-2269) merupakan perempuan tempatan berusia 48 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi. Kontak kepada kes jangkitan ke-2750. Dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban pada 25 Mac. Meninggal dunia 30 Mac 4.40 petang.

* Kes kematian ke-39 (kes jangkitan ke-2627) merupakan lelaki tempatan berusia 69 tahun dengan latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Sejarah perjalanan ke Arab Saudi. Meninggal dunia di rumah 27 Mac dan jenazah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.

* Kes kematian ke-40 (kes jangkitan ke-2627) merupakan lelaki tempatan berusia 69 tahun dengan latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Kluang. Meninggal dunia 26 Mac 1.03 petang.

* Kes kematian ke-41 (kes jangkitan ke-1275) merupakan lelaki Indonesia berusia 40 tahun. Dirawat di Hospital Umum Sarawak, Kuching pada 20 Mac. Meninggal dunia 31 Mac 1.38 pagi.

* Kes kematian ke-42 (kes jangkitan ke-2628) merupakan lelaki tempatan berusia 81 tahun dengan latar belakang penyakit jantung. Dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pantai Dalam pada 27 Mac. Meninggal dunia 31 Mac 7.09 pagi.

* Kes kematian ke-43 (kes jangkitan ke-2629) merupakan lelaki tempatan berusia 73 tahun dengan latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit jantung. Dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 29 Mac. Meninggal dunia 30 Mac 4.30 petang.

Hisham hari ini memaklumkan statistik menunjukkan terdapat 2 kumpulan umur yang paling tinggi kes positif Covid-19.

“2 kumpulan tersebut adalah dalam lingkungan 26 sehingga 30 tahun dan juga 56 sehingga 60 tahun,” katanya.