Lebih 300 rakyat Malaysia terkandas di India, Myanmar dibawa pulang

Seramai 3,201 rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara berjaya dibawa pulang melalui misi repatriasi.

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata seramai 179 rakyat Malaysia yang terkandas di Amritsar, India dibawa pulang semalam.

“Mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, jam 10.50 malam.

“Jumlah mereka yang terkandas di India ini dijangka berkurang apabila lebih ramai dapat dibawa pulang menggunakan 11 lagi penerbangan sewa khas,” katanya pada sidang media di Wisma Putra.

Kamarudin berkata seramai 3,201 rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara berjaya dibawa pulang melalui misi repatriasi yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan serta sumbangan parti politik, MIC dan pihak swasta, T7 Global Berhad dan Weststar Aviation Services.

Beliau berkata seramai 4,374 orang rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di 56 negara.

“Paling ramai ialah di India membabitkan seramai 2,156 orang.

“Lain-lain negara yang turut merekodkan jumlah rakyat Malaysia terkandas yang agak tinggi ialah Indonesia (680 orang), Australia (226 orang), New Zealand (153 orang), Thailand (337 orang), Arab Saudi (121 orang), Pakistan (128 orang), Filipina (54 orang), Sri Lanka (50 orang) dan Emiriah Arab Bersatu (43 orang),” katanya.

Kamarudin berkata 144 rakyat Malaysia dijangka tiba dari Myanmar pada jam 3.50 petang ini, melalui pesawat khas Malaysia Airlines MH741.

Beliau juga menasihatkan rakyat Malaysia di luar negara yang berhasrat untuk pulang supaya menguruskan penerbangan komersial secepat mungkin sebelum syarikat penerbangan menggantung operasi mereka atau penggantungan penerbangan dikuat kuasakan kerajaan sana.