Mahkamah digesa jangan berat sebelah tetap ikat jamin kes PKP

Dr Ong Hean Teik didakwa menghalang tugas penjawat awam dan melanggar undang-undang kawalan penyakit.

PETALING JAYA: Majlis Peguam menggesa mahkamah menggunakan budi bicara dengan bijak dalam menetapkan ikat jamin dan syarat lain terhadap individu yang didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presidennya, Salim Bashir berkata, mahkamah perlu mengambil kira jenis dan tahap keseriusan kesalahan apabila menimbangkan isu sedemikian.

“Mahkamah juga patut mengambil kira fakta jarang berlaku sebagai bukti yang rakyat kini berdepan PKP serta bergelut dengan pandemik Covid-19,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas laporan seorang doktor berusia 61 tahun di Pulau Pinang diarahkan membayar ikat jamin RM13,000 bagi 2 pertuduhan berkaitan PKP.

Pakar kardiologi, Dr Ong Hean Teik turut diperintah menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali.

Ong didapati melanggar PKP dengan berjoging di taman 2 minggu lalu. Beliau didakwa menghalang tugas seorang penguat kuasa majlis bandaraya dan melanggar undang-undang kawalan penyakit, kesalahan yang boleh menyebabkan beliau dipenjara atau didenda.

Beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret George Town semalam.

Salim yang menggesa mahkamah tidak mengenakan ikat jamin keterlaluan, berkata ikat jamin hanya untuk menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah.

“Ikat jamin lebih tinggi dan syarat tambahan hanya boleh dipertimbangkan, jika ada kemungkinan tertuduh mengganggu saksi dan bukti.”

Katanya, ikat jamin keterlaluan boleh dilihat sebagai satu bentuk hukuman dan beliau mengingatkan mahkamah berhubung prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.