Mati akibat Covid-19 syahid akhirat, kata Hadi

Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

PETALING JAYA: Orang Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 dianggap syahid akhirat.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana kematian mereka disebabkan mudarat akibat penularan wabak maut itu selepas berusaha dan berikhtiar termasuk mendapatkan rawatan.

Katanya, mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 juga perlu disempurnakan sama seperti jenazah lain.

“Syahid akhirat ialah mereka yang mati dalam menjalan tugas dengan tidak berperang, orang yang mati kerana wabak, penyakit taun sebagai contoh, wabak corona pada hari ini atau Covid-19 di mana mereka menghadapi wabak ini setelah berikhtiar, berubat, sabar menghadapi ujian selepas itu dia mati itu syahid akhirat.

“Ia termasuklah mereka yang mati ketika menjalankan tugas sebagai doktor, jururawat, sukarelawan untuk melindungi orang daripada penyakit ini, begitu juga orang yang mati akibat kemalangan jalan raya ketika menjalankan tugas mencari nafkah, mati kerana banjir, kebakaran termasuklah wanita mati ketika bersalin, itu semua syahid akhirat dan jenazah mereka perlu diurus sebagaimana biasa, dimandi, dikafan dan disembahyang.”

Beliau menerusi ceramah menghadapi pandemik itu yang disiarkan di Facebooknya malam ini berkata, proses memandikan jenazah umat Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19 akan menggunakan cara tayamum.

Hadi berkata, ulama turut mengariskan 3 kategori mereka yang mati syahid selain syahid akhirat iaitu syahid dunia akhirat dan syahid dunia.

“Syahid dunia akhirat ialah orang yang mati dalam peperangan, menentang musuh-musuh yang menceroboh agama Islam, tanah air Islam dan orang Islam ataupun orang yang mati ketika menjalankan tugas melindungi keselamatan orang Islam. Jenazah mereka tidak boleh dimandikan, dikapan dengan darah, mazhab Shafie tidak perlu disembahyang, ada mazahab lain kata perlu disembahyang dan ditanam begitu sahaja kerana darah menjadi saksi.

“Dan ketiga ialah syahid dunia sahaja, ialah orang munafik yang pura-pura tunjuk Islam kononnya kerja untuk Islam tapi niatnya bukan kerana Islam, orang anggap dia mati syahid di dunia tapi di akhirat tidak diterima,” katanya.

Menerusi ucapannya Hadi meminta mereka yang dijangkiti Covid-19 bersabar menghadapi wabak dan berdoa supaya rakyat dilindungi dari terus dijangkiti.

“Kita diajar sabar dan berikhtiar, bukan sabar sahaja, kita perlu berikhtiar mencari ubat, mesti ada pencegahan, jangan duduk diam tunggu takdir Allah, itu pandangan salah sebab itu kita kena cari penyelesaian sebaiknya dengan cara bertanggungjawawab,” katanya.