Peniaga bazar Ramadan ‘suram’ penangan Covid-19

Jalan Masjid India, di mana peniaga bazar Ramadan bayar sehingga RM40,000 setiap lot, kosong kerana kawalan pergerakan kerajaan berterusan.

PETALING JAYA: Beribu-ribu penjual makanan dan pakaian berdepan kerugian besar berikutan ada kemungkinan bazar Ramadan diharamkan di seluruh negara.

Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia, yang mewakili kira-kira 35,000 peniaga bazar Ramadan seluruh negara, melaporkan ramai yang sudah melabur puluhan ribu ringgit sebagai persiapan untuk berniaga di bulan puasa.

Setiausaha Mohamed Zamri Mohammed berkata Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan sudah membatalkan bazar Ramadan.

Kebiasaannya terdapat 2 jenis peniaga di bazar, iaitu penjual makanan untuk berbuka puasa dan penjual pakaian untuk sambutan Aidilfitri.

Zamri beritahu FMT kira-kira 80% ahlinya peniaga makanan dan 20% peniaga pakaian.

Katanya, mereka yang menjual pakaian dan barangan mudah rosak akan paling terjejas.

“Kebanyakan sudah membelanjakan ribuan ringgit untuk barangan yang akan dijual. Sekarang hanya ada longgokan barang.”

Bagi mereka yang menjual makanan, katanya, berpotensi besar hilang sumber pendapatan.

Bazar Ramadan pemandangan biasa sepanjang bulan puasa.

Beliau berkata, penjual makanan kecil-kecilan boleh meraih untung sebanyak RM5,000 ketika Ramadan. Bagi peniaga lebih besar, keuntungan yang diperoleh pada bulan itu cukup untuk menampung mereka selama setahun, tambahnya.

“Apabila bazar Ramadan diadakan di Jalan Masjid India, segelintir peniaga sanggup bayar sehingga RM40,000 untuk 1 lot,” katanya.

Zamri berkata persatuan juga akan terjejas kerana sudah mengutip antara RM300 dan RM600 daripada peniaga dan membelanjakan wang itu untuk lesen pihak berkuasa tempatan, kos pengurusan, apron dan deposit untuk khemah dan sebagainya.

“Kami berharap dapat bayaran balik untuk lesen majlis PBT, tetapi bagaimana dengan wang yang sudah kami belanjakan untuk perkara lain?

“Ini tahun yang sukar. Walaupun perintah kawalan pergerakan (PKP) berakhir pada 14 Apr, saya tidak fikir alam ada bazar kerana perlu benar-benar pastikan tiada ancaman Covid-19.”

Azkhalim Suradi, pengerusi persatuan yang sama untuk peniaga di Lorong Tuanku Abdul Rahman, tidak tahu bagaimana untuk menangani keadaan itu jika bazar Ramadan di Kuala Lumpur diharamkan.

Bazar Ramadan menarik kunjungan orang ramai, dengan peniaga perlu membayar sejumlah wang yang tinggi untuk mendapatkan tapak niaga.

Lorong Tuanku Abdul Rahman antara lokasi bazar Ramadan paling popular dan Azkhalim berkata semua 436 ahlinya bersedia untuk berniaga.

“Kami akan kehabisan idea jika bazar itu tidak berlaku,” katanya.

“Kami hanya boleh berharap virus itu dihapuskan secepat mungkin. Jika kami dibenarkan beroperasi, walaupun pada 2 minggu terakhir Ramadan, ia tak akan jadi terlalu teruk.”

Azkhalim sendiri sudah membelanjakan hampir RM40,000 membeli barangan untuk dijual di bazar.

“Ada yang membelanjakan lebih daripada RM100,000,” katanya.

Dia akui ada pilihan jualan dalam talian tetapi peniaga tidak dapat menjual sebanyak di bazar.

Dia berkata penjual makanan akan kehilangan ribuan ringgit pendapatan, wang yang biasanya dijadikan simpanan.

“Peniaga yang menjual pakaian boleh menyimpan barangan untuk tahun depan, tetapi harga akan lebih murah kerana ia mungkin tidak lagi mengikuti perkembangan fesyen.”