Polis Pahang perketat sempadan negeri fasa ke-2 PKP

Polis Pahang mengadakan 42 sekatan selama 24 jam di seluruh laluan utama dan masuk ke Pahang.

KUANTAN: Mulai tengah malam ini, polis Pahang akan memperketatkan sekatan sempadan negeri dalam menguatkuasakan fasa ke-2 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Pahang Abd Jalil Hassan berkata sekatan itu bukan hanya melibatkan jalan persekutuan namun turut dilakukan di laluan tikus bagi memastikan orang awam mematuhi PKP.

“Selain itu, kita juga mengadakan 42 sekatan selama 24 jam di seluruh laluan utama dan masuk ke Pahang. Kita juga akan menambah bilangan pegawai dan anggota terlibat, bergantung kepada keperluan.

“Bukan hanya laluan utama, kita turut mengadakan pemeriksaan dalam skala kecil di kawasan seperti Felda dan kawasan kampung,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Derma Darah di kem Sri Panching, hari ini.

Program anjuran bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut dihadiri Panglima 4 Briged (Mekanize) Brigadier Jeneral Zaidan Atan dan Komander Pangkalan Udara Kuantan Brigadier Jeneral Mohd Fadzil Mohd Diah.

Abd Jalil juga memaklumkan dalam tempoh 24 jam semalam, pihaknya memeriksa 12,048 kenderaan dan menahan 24 individu kerana melanggar PKP di seluruh Pahang.

Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata 3 anggota polis dari Kuantan dan Pekan disahkan positif Covid-19 dan sedang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), manakala 43 lagi dikuarantin selepas dirujuk sebagai pesakit dalam siasatan (PUI).

“Mereka yang positif merupakan kontak rapat pesakit positif Covid-19. Keputusan ujian terhadap anggota PUI dijangka dapat diketahui dalam beberapa hari lagi,” katanya.

Mengulas mengenai program itu, Abd Jalil berkata seramai 87 orang pegawai dan anggota daripada pasukan beruniform negara menderma darah bagi menampung keperluan tabung darah HTAA yang semakin berkurangan.