Pengasas Mercy Malaysia dilantik penasihat khas PM

Dr Jemilah Mahmood (kanan) dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pengasas Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) Dr Jemilah Mahmood dilantik sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata Jemilah bertanggungjawab menasihati perdana menteri mengenai dasar dan inisiatif berkaitan bidang kesihatan.

“Jemilah Mahmood merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Sarjana dalam bidang Obstetrik dan Ginekologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Beliau berpengalaman luas dalam bidang perubatan dan terlibat secara langsung dalam kerja kemanusiaan di peringkat nasional dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Jemilah yang juga setiausaha bahagian Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dipilih sebagai pemenang Asean Prize 2019 iaitu anugerah berprestij rantau Asean bagi mengiktiraf pencapaian individu atau organisasi dalam memupuk identiti dan semangat serantau ke arah pembangunan Komuniti Asean menjelang 2025.

Kes kematian Covid-19 bertambah 6 mangsa hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang meninggal dunia berkaitan wabak koronavirus itu 43 orang sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan sebanyak 140 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah mangsa 2,766 orang sehingga kini.