Rakyat penentu utama hentikan penularan Covid-19, kata KP kesihatan

Dr Noor Hisham Abdullah mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang, tidak kira individu atau organisasi, kecil atau besar, tempatan serta antarabangsa.

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penularan Covid-19 ialah pengalaman baru bagi semua, tetapi sektor kesihatan negara bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Beliau berkata, petugas di pelbagai peringkat sedang melakukan yang terbaik demi memastikan keselamatan semua pihak kerana kesihatan rakyat ialah keutamaan.

“Kepada petugas kesihatan, baik di sektor awam mahupun di sektor swasta, anda telah menunjukkan iltizam yang tinggi dan berusaha sebaik mungkin dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 ini.

“Ramai yang telah meninggalkan orang tersayang di rumah dan mengorbankan masa dan keselesaan untuk berada di barisan depan demi merawat pesakit kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham Abdullah

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) menghargai setiap petugas serta kudrat yang sudah dan sedang mereka curahkan setiap hari bagi mengekang penularan pandemik ini.

“Dedikasi dan keikhlasan yang ditunjukkan setiap petugas kesihatan dalam menghadapi pandemik luar biasa ini sememangnya menakjubkan. Terima kasih kepada anda semua.”

Hisham turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang, tidak kira individu atau organisasi, kecil atau besar, tempatan serta antarabangsa.

Katanya, orang ramai ialah penentu utama dalam menghentikan penularan Covid-19.

“Peranan anda adalah penting dalam meratakan lengkung dan dengan itu memberi kami lebih banyak masa dan kapasiti untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan anda.

“Setiap rakyat Malaysia mesti memainkan peranan mereka dalam memerangi pandemik ini.”