Patuhi arahan PKP jika tak mahu Ramadan terjejas, kata menteri

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

PUTRAJAYA: Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob berkata tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dilanjutkan dan akan menjejaskan sambutan bulan puasa, dengan merayu rakyat terus mematuhi perintah tersebut.

“Sekiranya rakyat terus mematuhi setiap perintah dan SOP, saya percaya ketakutan kita terhadap lanjutan perintah kawalan pergerakan dapat diselesaikan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat harian Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.

Katanya, beliau menerima banyak pertanyaan daripada rakyat sama ada mereka boleh menyambut hari raya Aidilfitri seperti kebiasaan, pada tahun ini.

Bagaimanapun, Ismail berkata kebimbangan itu bergantung kepada rakyat dengan mematuhi peraturan PKP yang masuk fasa ke-2 mulai esok.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan tempoh PKP selama 2 minggu bermula 1 hingga 14 April sebagai langkah persediaan menghadapi gelombang ke-3 pandemik Covid-19.

Ismail memberi jaminan pelaksanaan PKP tidak akan berlanjutan sehingga fasa ke-3 dan ke-4 sekiranya semua pihak memberikan kerjasama dengan baik dengan mematuhi prosedur dan arahan pihak berkuasa.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata setiap rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dikehendaki melalui fasa kuarantin selama 14 hari di lokasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Pengumuman itu, katanya, akan berkuat kuasa mulai 3 April berikutan beberapa persediaan perlu dibuat termasuk kenderaan dan keperluan fasiliti di lokasi kuarantin.

Jelasnya, mereka yang baru tiba di luar negara akan disaring di lapangan terbang sebelum menaiki bas ke fasiliti kesihatan yang disediakan KKM.

Beliau tidak menamakan mana-mana lokasi pusat kuarantin tersebut dalam sidang media berkenaan.

Beliau turut meminta ahli keluarga tidak hadir ke lapangan terbang untuk menyambut mereka yang baru pulang dari luar negara.

Sebaliknya, melakukan interaksi melalui panggilan telefon, panggilan video dan pesanan teks dengan ahli keluarga yang berada di bawah pusat kuarantin.