SPRM siasat dakwaan seleweng pakej bantuan makanan Covid-19 di Sabah

Gambar barangan makanan dikatakan diberikan kepada sesetengah isi rumah di Sabah.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan penyelewengan dalam agihan makanan berikutan dakwaan orang ramai tidak mendapat bantuan makanan sewajarnya di bawah pakej rangsangan Covid-19 Sabah.

Ia berlaku selepas gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan pakej makanan bernilai kurang RM100 seperti yang dijanjikan di bawah pakej rangsangan negeri, dikatakan diagihkan kepada beberapa kawasan.

“Kami telah menubuhkan pasukan petugas untuk memantau perolehan barangan makanan dan agihannya di lapangan,” kata Pengarah SPRM Sabah, Karunanithy Y Subbiah dalam satu kenyataan.

Beliau berkata SPRM negeri akan membantu memastikan tidak berlaku ketirisan dalam pengagihan bantuan kepada golongan yang terjejas berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Terdahulu, 1 blog mendakwa barangan makanan terdiri daripada beras, gula, minyak masak dan makanan dalam tin yang bernilai tidak melebihi RM100, mempersoalkan jika berlaku penyalahgunaan dana.

Ketua Menteri, Shafie Apdal minggu lalu mengumumkan pelan bantuan RM670 juta untuk menangani kesan virus itu di negeri tersebut.

Daripada jumlah itu, RM20 juta adalah untuk barangan makanan penting seperti beras, tepung, gula dan lain-lain untuk semua kampung di Sabah.

Pejabat Ketua Menteri dilaporkan menyalurkan RM100,000 untuk setiap pejabat daerah dan pejabat daerah kecil seluruh negeri di bawah pentadbirannya untuk pembelian barang-barang di bawah pakej bantuan makanan keperluan asas.

Adun Merotai, Sarifuddin Hatta berkata dalam beberapa kes, pakej yang dihantar ke setiap isi rumah dikurangkan supaya bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan.

Beliau berkata di bawah pentadbirannya, terdapat kira-kira 50 kawasan dan kampung.

“Jika kita agihkan RM100 kepada 1,000 keluarga setiap bantuan, itu bermakna hanya 20 keluarga di setiap perkampungan yang menerima bantuan.

“Jadi untuk bersikap adil, kami kurangkan bilangan item tetapi kami tingkatkan jumlah penerima. Jika RM25 untuk beras dan RM11.50 untuk telur, jumlahnya ialah RM37.50.”

Beliau berkata jumlah bantuan yang dikurangkan itu bagi memastikan bantuan dapat diagihkan kepada lebih 3,000 keluarga.

“Malah, di Merotai, kami agihkan (makanan) kepada 5,000 keluarga,” katanya di Facebook.

Beliau berkata jumlah keseluruhan yang dibelanjakan untuk 5,000 keluarga melebihi peruntukan RM100,000, sambil menambah beliau terpaksa mengeluarkan wang sendiri termasuk memberikan 3 bulan gajinya.

Sarifuddin berkata mereka yang tidak dikategorikan sebagai miskin turut diberi bantuan kerana kehidupan mereka juga terjejas.

“Jadi daripada memberi hanya kepada 1,000 keluarga, kami membahagikan jumlah bantuan berdasarkan populasi di kawasan itu dan mengurangkan barangan makanan supaya lebih ramai orang dapat menerima bantuan,” kata Sarifuddin.