Suhakam gesa kerajaan lindungi kanak-kanak ketika berdepan wabak Covid-19

Suhakam menggesa kerajaan memastikan sekolah tahfiz diselaraskan mengikut undang-undang dengan penguatkuasaan PKP.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini melahirkan kebimbangan berhubung nasib kanak-kanak termasuk pelajar berikutan penularan wabak Covid-19, walaupun kerajaan giat memerangi pandemik itu.

Pesuruhjaya Kanak-kanak, Noor Aziah Mohd Awal berkata, langkah penjagaan awal perlu dilaksanakan bagi memelihara kesihatan dan kehidupan kanak-kanak kerana kesihatan mereka mudah terjejas terutama yang tidak berada di bawah jagaan ibu bapa.

Beliau menzahirkan kebimbangan berikutan laporan terdapat 71 daripada 274 pelajar Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah, Sungai Lui yang didapati positif Covid-19.
Minggu lalu, 132 pelajar tahfiz itu dikuarantin di Institut Sosial Negara (ISM) kerana menghadiri program tabligh di masjid Seri Petaling.

“Pada 30 Mac 2020, 87 pelajar tahfiz di Terengganu juga dikuarantin kerana disyaki dijangkiti Covid-19. Amat membimbangkan apabila kanak-kanak dan pelajar di kawasan kejiranan sekolah tahfiz mungkin turut dijangkiti.

“Selaras dengan Perkara 3 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC), kerajaan dan pengurusan tahfiz diingatkan sentiasa menjadikan kepentingan kanak-kanak sebagai perkara utama.

“Melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat (KPWKM), kerajaan perlu memastikan kesejahteraan kanak-kanak dilindungi dan dijaga dengan mengambil langkah sewajarnya dari segi perundangan dan pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihaknya juga mendesak kerajaan memastikan institusi, perkhidmatan dan fasiliti yang bertanggungjawab untuk menjaga dan melindungi kanak-kanak mematuhi standard ditetapkan terutama dari segi keselamatan, kesihatan, jumlah dan kesesuaian kakitangan termasuk penyeliaan yang cekap.

“Dengan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP), kanak-kanak mempunyai hak yang saksama di bawah perlindungan undang-undang dan tidak boleh didiskriminasi.

“PKP secara umumnya melibatkan penutupan sekolah dan kawalan pergerakan yang mana mengganggu kehidupan seharian kanak-kanak dan akses untuk mereka mendapatkan sokongan sosial. Ini meningkatkan risiko untuk mereka terdedah kepada keganasan dan tekanan psikososial,” katanya.

Beliau juga mendesak supaya sekolah termasuk yang berasaskan agama perlu berdaftar dengan kerajaan.

“Kanak-kanak ini bukan sahaja di bawah tanggungjawab KPWKM tetapi juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memastikan semua sekolah tahfiz diselaraskan mengikut undang-undang dan kanak-kanak dilindungi serta dihormati sepenuhnya dalam tempoh ini. Sekolah ini perlu diselaraskan bagi mengelakkan sebarang tragedi,” katanya.