TI-M gesa Putrajaya telus dalam agihan RM5.9 bilion bagi perniagaan

TI-M berkata, kerajaan perlu telus dan menjelaskan cara agihan dana itu supaya penjawat awam serta orang ramai boleh melaporkan jika berlaku sebarang salah laku.

PETALING JAYA: Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa kerajaan menjelaskan bagaimana ia mahu mengagihkan RM5.9 bilion di bawah pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan minggu lalu kepada perniagaan dan pekerja untuk mengurangkan impak akibat krisis Covid-19.

Katanya, ia dapat mengelakkan penyalahgunaan dana itu kerana dahulu, dana untuk orang awam disalurkan melalui beberapa orang tengah yang mengaut keuntungan daripadanya menyebabkan rakyat tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada peruntukan berkenaan.

“Ini sebabnya kerajaan perlu telus dan menjelaskan bagaimana dana ini akan diagihkan.”

Katanya, ini akan mendedahkan pihak terbabit dalam proses itu supaya penjawat awam dan orang ramai boleh melaporkan jika berlaku sebarang salah laku.

TI-M turut menggesa kerajaan Perikatan Nasional yang “baru tetapi terdahulu” untuk tampil dan menunjukkan cara perubahannya melalui kejujuran serta ketelusan.

Bantuan berjumlah RM5.9 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu dijangka memanfaatkan kira-kira 3.3 juta pekerja.