Trend tangkapan individu ingkar PKP menurun, kata menteri

Askar dan polis membantu dalam pelaksanaan PKP.

PUTRAJAYA: Trend tangkapan individu yang didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan penurunan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Bercakap kepada media selepas mesyuarat harian Majlis Keselamatan Negara (MKN), beliau memberitahu sebanyak 742 tangkapan dibuat semalam berbanding lebih 800 tangkapan pada hari sebelumnya.

Tambahnya, kerajaan berharap trend penangkapan yang menurun itu kekal berterusan sepanjang tempoh kawalan pergerakan.

“Tren ini menunjukkan satu gambaran bahawa rakyat semakin sedar mereka mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak kerajaan,” katanya.

Ismail berkata, semalam sebanyak 1,147 sekatan jalan raya dibuat oleh pihak polis dan tentera dengan 383,3888 kenderaan diperiksa.

Tambahnya, daripada jumlah tangkapan, sebanyak 165 individu dituduh di mahkamah. Manakala daripada angka tersebut, 6 individu dijatuhkan hukuman penjara dan dikenakan denda.

“Semua rakyat perlu lihat arahan ini sebagai arahan yang serius.

“Jadi, patuhlah pada arahan. Jangan sampai ke penjara dan sebagainya.”

Katanya, bagi tempoh tahanan penjara di Sarawak, ia dikenakan selama 1 hingga 4 bulan.