19,939 ditahan, hampir 1,600 kereta disita langgar peraturan kuarantin di Argentina

Argentina melaksanakan perintah kuarantin sejak 20 hingga 31 Mac lalu, sebelum melanjutkannya sehingga 12 April ini. (Gambar AP)

BUENOS AIRES: Polis Argentina menahan hampir 20,000 orang kerana melanggar peraturan kuarantin, lapor agensi berita Sputnik yang memetik media pada Rabu.

Perintah kuarantin di negara itu dilaksanakan sejak 20 hingga 31 Mac lalu, sebelum dilanjutkan sehingga 12 April ini.

Sehingga Selasa, seramai 19,939 orang ditangkap dengan 1,597 kenderaan disita, menurut saluran TN Argentina.

Rakyat perlu mendapatkan permit khas untuk melakukan perjalanan menggunakan kenderaan peribadi. Jika gagal, mereka boleh didenda atau kereta dirampas sehingga tempoh kuarantin tamat.

Argentina setakat ini melaporkan 1,054 kes positif Covid-19, termasuk 27 kematian.