2 korban baru Covid-19, 142 jangkitan baru

PUTRAJAYA: 2 kes kematian Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan mangsa yang meninggal dunia berkaitan wabak koronavirus itu 45 orang sehingga kini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga memaklumkan sebanyak 142 kes jangkitan baru dilaporkan hari ini berbanding 140 semalam, menjadikan jumlah mangsa 2,908 orang sehingga kini.

Dalam pada itu, seramai 108 mangsa jangkitan Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar wad hari ini, yang tertinggi dalam sehari setakat ini, menjadikan bilangan pesakit yang sembuh 645 orang sehingga kini.

Sekarang ini, seramai 102 pesakit Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi.

“Daripada jumlah tersebut, 66 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media hari ini.

Dua korban hari ini membabitkan mangsa berumur 80 tahun dan 62 tahun:

  • Kes kematian ke-44 merupakan perempuan tempatan berusia 80 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19. Dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 13 Mac, disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 4.30 pagi.
  • Kes kematian ke-45 merupakan lelaki tempatan berusia 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19. Dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 17 Mac, disahkan meninggal dunia pada 31 Mac 10.46 malam.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata sehingga kini 2,359 orang sukarelawan daripada pelbagai kategori menawarkan diri untuk berkhidmat, termasuk 65 pakar perubatan pelbagai bidang.

“Kementerian sangat mengalu-alukan lebih ramai sukarelawan dan mereka yang ingin berkhidmat dengan kementerian untuk tampil menyertai pasukan bantuan kesihatan dan perubatan Covid-19,” katanya.

Mereka yang menawarkan diri:

  • 159 orang pegawai perubatan
  • 909 orang jururawat
  • 220 orang juruteknologi makmal perubatan
  • 704 orang penolong pegawai perubatan
  • 106 orang juru x-ray
  • 56 orang fisioterapi
  • 70 orang pegawai sains (mikrobiologi)
  • 7 orang pegawai farmasi
  • 44 orang penolong pegawai farmasi
  • 11 orang pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan
  • 2 orang pegawai psikologi
  • 6 orang kaunselor

Kementerian juga mendapati terlalu banyak dakwaan dan testimoni mendakwa pengambilan sesuatu jenis makanan, suplemen atau amalan perubatan tertentu mampu menyembuhkan jangkitan Covid-19.

“Setakat hari ini, belum ada sebarang kajian saintifik yang dapat membuktikan mana-mana jenis makanan atau perubatan tradisional yang boleh menghalang jangkitan virus ini,” katanya.